Searching...
Wednesday 9 May 2012
02:08 0

Isu BERSIH : Kerajaan Saudi Hantar Surat Teguran Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi meminta Malaysia mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan rakyat negara ini tidak terlibat dalam sebarang demonstrasi atau perhimpunan haram di Makkah dan Madinah seperti mana yang berlaku di kedua-dua kota suci umat Islam itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, perkara itu dinyatakan kerajaan Arab Saudi menerusi satu nota diplomatik bertarikh 3 Mei, yang dikeluarkan oleh kedutaannya di sini.

"Dalam surat itu juga, kita telah diminta supaya menasihatkan rakyat kita agar mematuhi undang-undang dan norma-norma tempatan Arab Saudi," katanya pada sidang media di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri di sini, semalam.

Media melaporkan pihak berkuasa Arab Saudi sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap penganjuran perhimpunan itu, yang didalangi pembangkang, di Makkah dan Madinah.

Anifah kesal dan kecewa kerana perhimpunan haram itu bukan sahaja mencemarkan imej Malaysia malah mengancam kuota haji serta penghormatan dan layanan yang dinikmati umat Islam negara ini ketika menunaikan ibadat itu di sana.

"Jangan ambil mudah... jangan salahgunakan penghormatan terutama kuota lebih 10,000 jemaah yang kita pinta. Saya berpendapat demonstrasi itu tidak bijak, tidak memberi kesenangan kepada jemaah haji lain yang ke sana untuk beribadat.

"Ia membimbangkan kita kerana sebelum ini, kerajaan Arab Saudi gembira melihat rakyat Malaysia antara yang terbaik dalam mengerjakan ibadah haji dan umrah.

"Apabila demonstrasi diadakan (di Makkah dan Madinah), ia telah mencemar imej Malaysia," katanya.

Anifah berkata, perhimpunan di Tanah Suci itu menimbulkan situasi "tidak senang" kepada kerajaan Arab Saudi dan ia boleh mengeruhkan hubungan baik kedua-dua negara yang sudah terjalin sekian lama.

"Apa yang dapat menyelamatkan situasi (itu) ketika ini adalah hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara termasuk antara Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Raja Arab Saudi (Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud) serta hubungan saya dan Menteri Luar (Putera Saud Al-Faisal Abdul Aziz Al-Saud)," katanya.

Dalam pada itu, Anifah menegaskan orang luar tidak perlu menyiasat perhimpunan yang menimbulkan huru-hara di ibu negara pada 28 April lepas kerana pihak berkuasa Malaysia termasuk polis mampu menjalankan siasatan.

"Kita mempunyai kepercayaan kepada pihak berkuasa kita sendiri seperti polis. Saya tidak fikir ia adalah isu. Kita sudah mempunyai panel kita sendiri (pasukan penyiasat).

"Saya tidak melihat sebarang keperluan untuk organisasi luar menentukan sama ada kita bebas, adil (dalam penyiasatan kita)," katanya ketika diminta mengulas tindakan Frank La Rue, yang mendakwa daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menawarkan diri untuk menjalankan siasatan bebas berhubung perhimpunan itu. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...