KUALA LUMPUR: Pelakon Sara Ali, 22, tidak mahu terlalu menonjol di tempat awam untuk menjaga nilai eksklusifnya seperti yang dilakukan oleh Maya Karin.
Sara yang kini muncul dalam filem Jangan Pandang-Pandang (JPP) berkata, dia tidak mahu mudah dilihat di mana-mana sahaja tetapi ingin masyarakat mengenalinya melalui karya yang dihasilkan.
"Benar, saya mahu kekalkan nilai eksklusif pada diri. Kadang kala, saya kurang faham dengan selera masyarakat tempatan yang menyukai seseorang artis itu kerana rupa atau bakat.
"Justeru itu pendekatan kurang menonjolkan diri dapat menunjukkan sejauh mana orang luar mengenali bakat saya di bidang lakonan ini. Saya juga mengambil contoh terdekat idola saya, Maya Karin. Dia kurang menonjolkan diri bagi menjaga nilai eksklusifnya," kata Sara.
Dalam pada itu, Sara juga mempunyai strateginya tersendiri dalam mengukuhkan lagi karier lakonannya dan akan berhenti bergelar pelakon sebelum usianya mencecah 30 tahun.
"Apa yang saya buat hari ini (berlakon) adalah proses pembelajaran semata-mata. Ini kerana saya mempunyai impian untuk bergelar seorang pengarah berjaya pada masa akan datang ini.
"Kalau nak tahu, selain berlakon, saya juga banyak menghabiskan masa dengan bekerja di belakang tabir juga. Insya-Allah saya ingin menyambung pengajian di bidang perfileman di luar negara.
"Tetapi setakat ini New York Film Academy (NYFA) merupakan impian utama saya. Doakan supaya saya dapat menyambung pelajaran di sana," ujar pelakon berkelulusan ijazah jurusan seni bina di Lim Kok Wing ini.
Sementara itu, Sara tidak sabar untuk melihat reaksi penonton mengenai lakonannya dalam JPP bersama barisan pelakon lain seperti Zizan Razak, Nas-T dan Miera Leyana.
"Saya harap lakonan saya berjaya mencuit hati para penonton. lebih-lebih lagi ia sebuah filem komedi, jadi sedikit sebanyak, karakter komedi turut saya selitkan dalam filem ini," ujarnya ringkas.
mStar Online