Searching...
Friday 30 March 2012
19:50 0

Penjara nafikan Imam Hoslan mengislamkan banduan



Jabatan Penjara hari ini menafikan bahawa imam Hoslan Husin - yang dipenjarakan kerana membaling kasut ke arah panel hakim - berjaya mengislamkan dua banduan lain seperti didakwa isterinya semalam.

Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Penjara Malaysia Supri Hashim berkata, salah seorang yang dilapor diislamkan sudah memeluk agama itu pada 2009.

"Manakala seorang lagi banduan sebenarnya dalam proses memeluk agama Islam yang mana akan diuruskan oleh jabatan agama Islam dalam masa terdekat," katanya.

Jabatan itu juga menegaskan hanya pegawai atau pembantu pegawai agama yang dibenarkan menjadi imam di surau dan menganjurkan program keagamaan dan bukannya banduan.

"Kemungkinan penama di atas (Hoslan) hanya menjadi imam di sel di mana dia di ditempatkan bersama beberapa banduan lain semasa mengerjakan sembahyang pada malam hari," kata Supri.

"Bagi tujuan keselamatan banduan tidak akan dikeluarkan dari sel mereka pada waktu malam. Oleh itu pada kebiasaannya semasa mengerjakan sembahyang berjemaah di dalam sel pada waktu tersebut banduan akan bergilir-gilir menjadi imam sesama mereka."

Sementara itu, Bernama melaporkan Supri sebagai berkata Jabatan Penjara telah menghantar pegawai untuk menyiasat laporan berkenaan kerana ia bertentangan dengan tatacara dan prosedur jabatan.

Semalam, Harakahdaily memetik isteri Hoslan, Noorliza Mohd Isa sebagai berkata, suaminya mengislamkan dua banduan selain mengajar fardu ain dan menjadi imam kepada banduan lain ketika
solat berjemaah.

Hoslan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan dipenjarakan setahun sejak 8 Mac lepas atas kesalahan menghina mahkamah selepas membaling selipar ke arah tiga panel hakim ketika mahkamah bersidang di MahkamahPersekutuan, pada 22 Februari lepas.

Agensi berita nasiona itu juga melaporkan, berasaskan prosedur, urusan pengislaman seseorang banduan dilaksanakan secara teratur dan melalui Jabatan Agama Islam dan bukannya banduan lain.

Sebaik sahaja seseorang banduan menyatakan hasrat untuk memeluk agama Islam proses pengislaman akan dilaksanakan dengan kehadiran pegawai dari Jabatan Agama Islam, pegawai agama Jabatan Penjara serta saksi-saksi yang diperlukan bagi memastikan pengislaman dilaksanakan secara teratur.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...