KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan lapan projek pelaburan baru bernilai RM1.4 bilion dalam pelbagai sektor seperti pertanian, pendidikan, aeroangkasa, borong, runcit dan pembuatan.
Beliau berkata, Kuala Lumpur Kepong Bhd akan melabur RM706 juta dalam usaha untuk membangunkan sektor hiliran dalam industri minyak sawit.
Dalam satu inisiatif untuk membangunkan dan meletakkan Malaysia sebagai hab untuk perkhidmatan kejuruteraan nilai tinggi, Stand Aerospace Malaysia Sdn Bhd, akan melabur RM177 juta.
Dalam penjagaan kesihatan pula, Vasseti Datatech Bhd akan melabur RM400 juta bagi memasang 1,410 set televisyen 42 inci di 168 lokasi di seluruh negara, termasuk hospital, klinik 1Malaysia dan Kementerian Kesihatan.
Bagi pertanian pula, Najib berkata, Hannan Corporation Sdn Bhd akan melabur RM72.6 juta bagi dua kompleks akuakultur yang boleh menghasilkan 14,000 tan udang putih setahun.
Bagi produk herba nilai tinggi, Nova Laboratories Sdn Bhd akan melabur RM16.29 juta dalam penyelidikan dan pembangunan serta ujian praklinikal dan klinikal bagi membangunkan tiga produk herba nilai tinggi dan pengkomersialannya.
Sementara itu, Doorstep Retail Sdn Bhd akan melabur RM35 juta menjelang 2020 bagi menyediakan platform memudahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi kemudahan dan sokongan teknikal.
Sebagai usaha melengkapkannya, Koperasi Jiwa Malaysia Bhd akan menerajui inisiatif bagi menyediakan platform beli belah maya untuk PKS untuk memasuki dalam usaha talian, dengan pelaburan sebanyak RM15 juta.
Pelaburan kelapan akan menyaksikan DSEM Holdings Sdn Bhd berkembang daripada pembuatan kontrak kepada syarikat yang menghasil, mengedar dan pasaran jenamanya sendiri bagi produk LED.
Bagi sumber manusia, Perdana Menteri berkata MyProCert, di bawah MSC Malaysia, merupakan program meningkatkan kemahiran warga Malaysia ke arah standard pensijilan antarabangsa, berserta Program Peningkatan Bakat Negara (NTEP).
Beliau berkata, NTEP terbuka kepada graduan kejuruteraan dengan pengalaman bekerja antara satu atau dua tahun dan mereka yang berhasrat menambah atau memperbaharui kemahiran untuk memasuki sektor elektrikal dan elektronik serta teknologi hijau.
Lima agensi dan syarikat akan menerajui inisiatif ini iaitu Akademi Teknologi Hijau Sdn Bhd, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC).
Sementara itu, TERAS yang menyasar untuk meningkatkan PKS Bumiputera, sehingga kini telah mengenal pasti 100 PKS Bumiputera dan 1,000 syarikat kecil/mikro sebagai permulaan.
Najib berkata, penyertaan PKS Bumiputera menggalakkan dan menyeru lebih banyak lagi menyertainya di masa depan.

0 comments:
Post a Comment