Searching...
Sunday 30 September 2012
16:11 0

Tiada Makanan ‘Jijik’ Dalam Fear-Factor Selebriti Malaysia

Tiada Makanan 'Jijik' Dalam Fear-Factor Selebriti Malaysia


GOMBAK – Perkara-perkara jijik dan aktiviti-aktiviti yang menyalahi budaya negara ini tidak akan ditonjolkan dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia membabitkan selebriti tempatan.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, pihaknya amat peka dengan isu yang melibatkan sensitiviti penonton dan tidak akan mengikut format program itu yang mendedahkan peserta dengan perkara-perkara tidak senonoh.

“Jika melihat format program asal, peserta akan diuji dengan memakan benda-benda yang menjijikkan, tetapi ia tidak akan berlaku dalam program ini.

“Ia dihasilkan mengikut kesesuaian budaya negara kita. Namun ujian yang melibatkan rasa ketakutan, ketinggian dan psikologi mental masih lagi digunakan kerana itu adalah sebahagian ‘fear factor’ dalam program ini,” katanya pada pelancaran Fear Factor Selebriti Malaysia di Batu Caves, di sini, Jumaat.

Tambah Raqim, walaupun perkara-perkara yang sensitif tidak dimasukkan dalam formatnya, ia masih lagi mampu menjadi tarikan kepada penonton terutamanya daripada segi kekuatan fizikal dan penggunaan haiwan yang menakutkan.

Seramai 30 selebriti (dibahagikan kepada 13 kumpulan) menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia antaranya Didie Alias, Zoey, Dafi, Jehan Miskin, Kaka, Elfira Loy, Hairul Azreen, Farish Aziz, Azam Pitt, Gambit Saifullah, Ezlynn, Mejar Dr Faiz, Zawen Anwar, Hafizul (On Air), Norisham Ismail dan Johan As’ari.



Bakal menjalani penggambaran di Cape Town, Afrika Selatan bermula 23 Oktober sehingga 15 November depan, para selebriti ini bakal melalui pelbagai ujian yang menguji tahap ketahanan serta keberanian diri selain melakukan pelbagai aksi-aksi lasak dan mencabar.

“Walaupun jadual penggambarannya pada penghujung bulan depan, mereka (peserta) sudah pun diberi latihan ‘Boot Camp’ selama lima hari di Batu Caves.

“Mereka dikerah dengan pelbagai latihan lasak, seperti menyertai latihan askar,” ujarnya.

Fear Factor Selebriti Malaysia merupakan sebuah program popular antarabangsa yang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta, namun ia diubah suai mengikut kesesuaian budaya masyarakat Malaysia.

Selain itu, pihak Astro telah memilih Aaron Aziz sebagai pengacara bagi mengendalikan program yang akan disiarkan di Astro Ria dan Mustika HD nanti. (mstar.com.my)


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...