Searching...
Monday 2 July 2012
13:15 3

Penyanyi Lamb of God Ditangkap

Prague – Penyanyi utama kumpulan Lamb of God telah ditahan di Prague selepas didapati mempunyai kaitan dengan kematian seorang peminatnya ketika mengadakan konsert , dua tahun lalu.

Randy Blythe, 41, ditangkap Rabu lalu ketika dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kejadian tersebut sebelum dia dijadual mengadakan pertunjukan pada malam Khamis lalu.

Penyanyi utama kumpulan yang pernah menerima empat pencalonan Grammy itu didakwa menyebabkan kecederaan teruk hingga mengakibatkan mangsa meninggal dunia.

Jurucakap polis, Jana Rosslerova memaklumkan Blythe kini ditahan reman dan mahkamah akan membuat keputusan sama ada tempoh tahanan reman akan dilanjutkan.

Laporan media menyebut Blythe telah memulakan pergaduhan hingga membawa kepada kematian peminatnya, namun ia dinafikan oleh jurucakap kumpulan berkenaan.

`’Tidak pernah berlaku pertengkaran dan pergaduhan. Kejadian ini menyaksikan bagaimana peminat berkenaan telah merempuh pengadang ketika konsert sebanyak tiga kali ketika Randy mengadakan persembahan.

“Selepas kali ketiga merempuh pengadang itu, mangsa gagal disekat oleh pengawal keselamatan, menyebabkan Randy terpaksa menolaknya ke belakang namun dia terjatuh hingga mengalami kecederaan di kepala.

“Sehingga siasatan dijalankan, hanya kenyataan ini dikeluarkan namun kumpulan ini menegaskan semua tuduhan yang dilemparkan adalah tidak benar semata-mata,’’ demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan itu.

Dalam pada itu, abang Randy iaitu Mark Blythe memaklumkan stesen televisyen CBS-6 bahawa tuduhan itu adalah tidak benar dan peguam kini sedang berusaha untuk membebaskan adiknya.

Sementara itu, konsert yang dirancang kumpulan itu di Rock Cafe pada malam Khamis telah dibatalkan.

3 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...