Searching...
Tuesday 26 June 2012
13:02 0

UMNO MARAH KHATIB DOA KEJATUHAN PEMIMPIN ZALIM & RASUAH?






BUKIT MERTAJAM – Jawatankuasa Kariah Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq Taman Guar Perahu kesal dengan tindakan 'individu tidak bertanggungjawab' yang didakwa sengaja memperbesarkan isu berhubung doa dibacakan pada khatib Jumaat lalu.

Pengerusi Kariah, Abu Bakar Bakilani Abu Hassan menyifatkan kenyataan individu tersebut sebagai fitnah kerana khatib itu tidak langsung menyebut mahu menjatuhkan mana-mana kerajaan, tetapi berdoa supaya pemimpin zalim dijatuhkan.

Beliau syak individu yang membuat dakwaan itu cuba mengambil kesempatan mempolitikkan isu tersebut kerana tidak puas hati dengan jawatankuasa kariah masjid.

“Tidak menjadi masalah kita mendoakan mengalahkan yang zalim, menjatuhkan musuh Islam. Perbuatan ini (iaitu membesarkan isu doa khutbah itu) adalah serangan dari sudut politik yang berkemungkinan untuk memburukkan pentadbiran masjid sedia ada.

 “Kita kenal dua pengadu tersebut," katanya.

Menurutnya, mereka pernah memegang jawatan penting di masjid itu dan tidak banyak menyumbang.

Abu Bakar berkata, pihaknya tidak gentar untuk menghadapi dakwaan itu kerana mempunyai bukti berupa rakaman khutbah berkenaan.

Katanya, laporan polis juga akan dibuat selepas ini, selain bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu berkenaan.

“Saya sudah berjumpa dan berbincang dengan khatib, kalau benar fitnah, tindakan undang-undang akan diambil. Apa pun, kita akan lihat dahulu laporan dikeluarkan media berhubung isu ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kariah itu, Jaafar Che Mai turut kecewa dengan tindakan kedua-dua individu itu yang didakwa sengaja mahu memecahbelahkan jemaah masjid.

“Kita mahu mengimarahkan masjid, tapi perbuatan mereka seolah-olah mahu memecahbelahkan jemaah masjid.

"Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meminta kita menyerahkan rakaman tersebut esok (hari ini). Kita juga akan minta nasihat daripada mereka sebelum mengambil sebarang tindakan susulan,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu pertemuan di Taman Guar Perahu, malam kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, ketika artikel ini ditulis, rakaman khutbah Jumaat itu sudah pun diserahkan kepada MAINPP untuk diteliti.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...