Searching...
Friday 15 June 2012
08:39 0

Penyanyi Nora Kecewa Tidak Diiktiraf Dalam Industri Hiburan?

JIKA hendak dibandingkan populariti mahupun penghargaan yang diterima penyanyi bersuara gemersikini sepanjang hampir dua dekad menjadi artis, boleh dikatakan ia tidak setimpal dengan kredibilitinya.

Namanya beberapa kali tersenarai dalam acara anugerah berprestij antaranya Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik, tetapi jarang benar Nora menerima pengiktirafan.

Kalau ada pun, sewaktu Anugerah Industri Muzik Kelapan (2001) apabila album Kirana memenangi tiga anugerah utama termasuk Album Pop Terbaik dan Lagu Terbaik untuk Menyemai Cinta Bersamamu dalam acara tahunan tersebut.

Lalu, persoalan yang timbul apakah Nora tidak dihargai sebaik-baiknya oleh industri mahupun peminatnya walhal dia bukan penyanyi sembarangan?

“Jujurnya, saya akui di awal pembabitan pernah terbit rasa kecewa tetapi lama-kelamaan semua itu saya anggap sebagai resam dalam dunia seni.

“Lagipun, soal penghargaan itu tidak pernah saya fikirkan atau utamakan. Sudah pasti kita mahukan sesuatu sebagai penghargaan atas kerja keras terhadap lagu mahupun album yang dihasilkan.

“Bagi saya, kalau kita terlalu mengharap tetapi akhirnya kemenangan tidak berpihak kepada kita, perasaan kecewa akan sentiasa menyelubungi," ujar Nora sambil tersenyum ketika ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi terbarunya, Hikmah di Saloma Bistro, Jalan Ampang, baru-baru ini.

Menyambung bicaranya, isteri kepada komposer terkenal Johan Nawawi ini memberitahu, dia cukup selesa dengan apa yang dimiliki hari ini biarpun ada yang melihat dirinya tidak diiktiraf seperti artis lain.

Pemilik trofi Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik Kedua (1994) ini juga menjelaskan dia menjadi matang seiring dengan pembabitan dalam dunia seni.

Sepanjang berada di dalam industri, dia sudah berhadapan dengan onak duri dan ranjau yang menjadikan dirinya kuat setiap hari.

Sejak bergelar juara Bintang HMI 1991, penyanyi yang memiliki vokal mantap ini tidak perlu menunggu lama untuk menarik perhatian peminat muzik tanah air.

Pernah dilabelkan sebagai klon kepada penyanyi hebat, Aishah di awal kemunculan, ternyata Nora membuktikan dia mempunyai bakat tersendiri.

Sebagai artis, dia mahu bertahan lama di dalam industri dan seandainya dirinya terus dikaitkan dengan mana-mana artis, sudah pasti dia tidak mampu membina legasi seni sendiri.

Menerusi album pertamanya, Sandiwara (1994), Nora berjaya menyakinkan peminat hiburan bahawa dia mampu berdiri dan mempopularkan namanya sendiri tanpa dibayangi sesiapa.

Terima kasih kepada lagu keramat, Di Persimpangan Dilema, karya ciptaan Adnan Abu Hassan manakala lirik nukilan Elyna itu dengan sekelip mata telah menaikkan nama Nora sebagai salah seorang penyanyi wanita terbaik negara.

Ditambah pula dengan penjualan album tersebut yang mencecah suku juta salinan sekali gus meletakkan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini dalam liga tersendiri.

Rentetan daripada kejayaan itu, penyanyi ini sudah merakamkan lebih daripada 10 buah album solo dan kompilasi yang telah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai seorang penghibur.

Tiada rezeki

Atas alasan itu, dia benar-benar bersyukur apabila dirinya masih lagi diterima dengan baik oleh peminat dan karyawan seni meskipun penampilan dirinya kini sudah berubah.

“Apa yang membanggakan dan membuatkan saya terharu apabila diterima ketika sudah menjadi isteri. Ternyata peminat menerima kehadiran saya tanpa memikirkan soal status," katanya lagi.

Seperkara yang menjadi persoalan di kalangan peminat apabila Nora masih lagi belum berpeluang mengadakan konsertnya sendiri biarpun sudah hampir 20 tahun menjadi penyanyi.

Walhal, kalau hendak diukur kepada pengalamannya, penyanyi lagu Sandiwara ini memang sudah layak untuk menghiburkan peminat di pentas yang besar.

Ditambah dengan koleksi lagu-lagu popularnya yang sudah mencapai status malar segar mampu menambahkan merit buatnya jika Nora mahu beraksi dalam sebuah konsert.

Tidakkah Nora berasa kecil hati tentang perkara ini sedangkan ada di antara penyanyi seangkatannya yang sudah jauh ke hadapan berbanding dirinya.

Sekali lagi, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini mengukir senyuman dan memberikan pendapatnya.

“Mungkin saya belum cukup glamor agaknya untuk menarik perhatian penaja (ketawa). Apabila memperkatakan tentang soal konsert ini, bohong kalau saya kata tidak teringin untuk berbuat demikian.

“Saya sedar soal populariti juga memainkan peranan penting kerana konsert bukan sesuatu yang kecil. Semua perkara biarpun dianggap remeh perlu diambil kira.

“Barangkali belum rezeki saya untuk menyanyi dalam sebuah konsert dan menganggap semua ini ada hikmahnya.

“Kalau diberi peluang mengadakan konsert, saya akan melakukan yang terbaik dan semaksimum mungkin agar ia menjadi konsert pertama dan terakhir saya," kata pemilik nama penuh Wan Nora Afiza Ariffin dalam nada penuh optimis.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...