Searching...
Monday 18 June 2012
08:57 0

PAS lancar stesen TV internet, ajak rakyat pilih yang terbaik




(Abdul Hadi melancarkan TV Impian dengan dilihat oleh semua pimpinan PAS Selangor dan Dr Hatta Ramli)

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini melancarkan stesen TV berasaskan internet dan sekaligus mengajak semua ahlinya bersaing untuk mengajak rakyat memilih pemimpin yang betul.

Pelancaran stesen TV Impian itu dibuat beliau di majlis penutup Himpunan Hijau Menuju Putrajaya 1 peringkat negeri Selangor.



Stesen ini sebuah stesen televisyen internet yang menyediakan lima saluran alternatif untuk dinikmati rakyat Selangor dan lain-lain negeri.

Pengguna hanya perlu membeli dekoder untuk mendapatkan siaran dan tiada bayaran bulanan dikenakan.

TV ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk mendapat maklumat tepat yang tidak disiarkan media kerajaan.

Bersaing untuk pilih pemimpin yang betul

Menurut Abdul Hadi, PAS bukan parti yang bersaing untuk menonjolkan kehebatan sendiri tetapi bersaing untuk menyedarkan rakyat agar memilih pemimpin yang betul pada pilihan raya umum.

Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia sedang menghidapi penyakit 'rakyat diperbodoh' dan menjadi tanggungjawab PAS sebagai parti Islam untuk mengubati penyakit ini.

"Zaman Firaun dahulu, mereka berjaya memperbodoh rakyat. Hanya Firaun yang boleh beri ini, boleh beri itu. Kerajaan lain tidak boleh.

"Rakyat diperbodoh merupakan bencana yang dihadapi dunia Islam," kata beliau ketika berucap pada majlis penutup Himpunan Hijau Menuju Putrajaya Fasa 1 Peringkat Negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, dekat sini petang tadi.

Abdul Hadi juga berkata, PAS tetap memilih demokrasi kerana demokrasi memberi peluang kepada PAS untuk menyampaikan hidayah Allah kepada rakyat.

"PAS mempunyai moral yang tinggi dan diyakini banyak pihak.

"Umno pun puji tapi puji senyap-senyap. Kalau PAS buat salah, masuk muka depan akhbar. Kalau Umno BN buat salah, muka belakang.

"Sebab kalau PAS buat salah nampak pelik sebab pemimpin Islam. Umno kata, takkanlah pemimpin Islam nak buat salah, ini menujukkan mereka pun tahu PAS susah nak buat salah," katanya di hadapan kira-kira 2,000 jentera parti yang hadir.

Ahli Parlimen Marang itu juga mengingatkan jentera berhubung tanggungjawab menjalinkan hubungan baik dengan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

"PAS kena bersatu dengan NGO Islam untuk melawan BN.

"Ada NGO Islam yang berminat dengan politik, ada yang langsung tak minat. Minat atau tidak, kita harap mereka tidak menjadi alat parti politik," katanya.

Sebelum itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli membentangkan kertas kerja mengenai maklumat pilihan raya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...