Searching...
Friday 22 June 2012
19:01 0

Panas ! 4Tahun Tak Dengar Radio - Anuar Zain Merajuk Lagu Tidak Pernah Diputarkan

SETELAH lebih 30 tahun bergelumang dalam industri muzik yang penuh dengan pelbagai sandiwara, Anuar Zain ternyata kesal dengan senario yang berlaku kini.

Namun begitu dia tetap tidak pernah rasa jemu untuk terus berkarya sebagai tanda penghargaan buat peminat yang setia menyokong selama ini.

Menurutnya stesen radio tempatan sudah tiada lagi variasi kerana sesetengah pihak hanya menumpukan pada sesebuah genre yang sedang menjadi trend.

"Kalau artis tidak keluarkan album, ada pihak yang kata kenapa tidak hasilkan album.

"Tetapi bila sudah ada album, amatlah susah untuk mendengarkan lagu itu dimainkan di corong radio.

"Alhamdulillah album ini sudah terjual lebih 11,000 di pasaran. Namun begitu jarang sekali untuk saya mendengar lagu-lagu saya dimainkan di stesen radio.

"Itu yang menimbulkan persoalan kepada saya.

"Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Tapi apabila saya buka sahaja radio sekarang, saya merasakan tiada jiwa atau excitement kala mendengar radio kerana genre yang sama dimainkan berulang-ulang kali,"ujar Anuar yang menyuarakan rasa kesalnya melihat senario muzik tempatan.

Anuar Zain atau Shahrul Anuar Zain, 42 ditemui ketika majlis An Afternoon With Anuar Zain yang berlangsung di Bistro 42 Bangsar Village 2 semalam.

Majlis berkenaan diadakan untuk melancarkan album terbarunya Anuar Zain setelah sudah beberapa bulan berada di pasaran.

Tambahnya lagi, pasaran muzik tempatan sekarang keliru dengan apa yang perlu mereka lakukan.

Ada pihak juga katanya memberi alasan lagu tidak menjadi permintaan.

Namun bagi Anuar Zain, jika lagu jarang atau tidak pernah dimainkan di stesen radio, bagaimana pendengar mahu mengetahui tentang lagu tersebut.

"Saya bukan merajuk, jauh sekali menyalahkan sesiapa.

"Saya juga tidak mahu terhegeh-hegeh meminta lagu saya dimainkan kerana saya tahu lagu saya ada pendengar tersendiri.

"Cuma saya kesal, perkara ini tidak pernah diambil peduli dan saya tahu bukan saya seorang sahaja yang mengalami masalah sebegini,"tambahnya lagi.

Pada sidang media itu juga, Anuar menjelaskan mengapa dia mengambil masa yang lama untuk mengadakan majlis perlancaran buat album terbarunya.

"Album ini sudah berada di pasaran sejak November tahun lalu dan diharapkan dengan perlancaran ini ianya akan menaikkan lagi penjualan album ini.

"Masa yang diambil sedikit lama kerana pertukaran pihak pengurusan dan kini saya diuruskan oleh teamyang baru,"ujarnya lagi.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...