Searching...
Sunday 17 June 2012
12:13 0

'Bukan Cara Saya Umumkan Apa Yang Saya Beri Pada Rakyat' - Sultan Ibrahim

SULTAN Ibrahim menjelaskan, sama ada institusi raja-raja masih lagi relevan dengan era milenium ini perlulah dilihat dari konteks sesebuah masyarakat, negara, adat, budaya dan sejarah.

“Malaysia ada sejarah dan budayanya sendiri dan Kesultanan Johor telah sedia wujud sejak tahun 1885 lagi. Di dunia lain mungkin ada Raja yang disingkir...jadi kita perlu tanya kenapa Raja-Raja disingkirkan. Di negara kita, Raja-Raja adalah sebuah institusi yang berkait rapat dengan sejarah, adat dan budaya bangsa itu sendiri.

“Hari ini, Raja-Raja memainkan peranan check and balance di dalam sebuah negara. Sebab itulah Raja-Raja sentiasa berada di atas politik dan tidak mencampuri urusan politik. Jadi nasihat saya ialah, jangan mempolitikkan institusi Raja-Raja kerana itulah yang dipersetujui apabila kita membentuk negara ini.

BLOG
Sultan Ibrahim turut menyatakan pandangannya mengenai tulisan-tulisan yang muncul dalam laman blog dan internet mengenai beberapa isu khususnya yang berkaitan dengan institusi raja-raja.

Titah baginda; “Sejak akhir-akhir ini, saya ada ikuti beberapa tulisan di dalam blog. Ada yang tulis perkara yang bukan-bukan. Tetapi nasihat saya ialah jagalah adab dan bahasa kita. Sesetengahnya menulis menggunakan bahasa yang tidak sesuai langsung untuk dibaca.”

Jelas baginda, ketika berlangsungnya program Kembara Mahkota selama empat hari baru-baru ini, para blogger turut dijemput untuk menyaksikan sendiri bagaimana keluarga diraja Johor berinteraksi dengan masyarakat.

“Mereka boleh saksikan sendiri apa yang saya buat sepanjang empat hari itu. Dan sesuatu yang sangat-sangat menyentuh perasaan saya ialah, jika rakyat boleh menunggu di tepi jalan selama berjam-jam hanya untuk bersalaman dan bercakap dengan saya, maka saya patut tengok dan menjaga hal ehwal rakyat saya. “

BUKAN CARA SAYA
Tetapi nyata Sultan Ibrahim, pada masa yang sama, bukanlah menjadi cara dan gaya baginda untuk memberitahu kepada umum apakah yang telah baginda lakukan untuk membantu masyarakat secara amnya dan juga secara khususnya.

“Bukanlah menjadi style saya untuk mengumumkan setiap satu perkara yang saya lakukan untuk rakyat...tapi mereka yang telah menerima sesuatu daripada saya tahu apa yang telah saya lakukan untuk membantu rakyat negeri saya.

“Namun begitu saya juga sentiasa mengikuti apa yang dilaporkan oleh media kerana bagi saya komen media sangat penting kerana media sentiasa berada bersama rakyat untuk melaporkan keluh kesah mereka...saya perlu maklum balas daripada media untuk memahami dan mengetahui apa lagi yang boleh saya buat untuk rakyat saya.

“Saya tidak pernah umumkan apa yang saya beri kepada rakyat saya tetapi saya perlu tahu apakah reaksi rakyat terhadap saya,” jelas Sultan Ibrahim.

Dalam hubungan ini Sultan Ibrahim menegaskan bahawa baginda mahu putera-putera dan puteri baginda memahami hal ehwal rakyat dan masyarakat.

“Anak-anak saya kena tahu tentang rakyat dan saya mahu mereka bertemu dengan rakyat dan badan-badan bukan kerajaan sekerap yang mungkin...bukan sekadar turun menunaikan solat Jumaat bersama rakyat sahaja. - mStar online

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...