Searching...
Wednesday 23 May 2012
12:06 0

Yuna nafi sudah tamak


KEMUNCULAN Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 26, pada majlis Inspirasi Selebriti bersama Macy di Pusat Beli-Belah Citta, Petaling Jaya, baru-baru ini membuatkan semua mata tertumpu ke arah dirinya. Cantik mengenakan turban warna kegemarannya ungu dipadankan dengan kemeja biru, aura penyanyi lagu Penakut itu begitu ketara apabila dia tidak putus-putus diminta untuk bergambar oleh peminat-peminatnya.

Biarpun sibuk mempromosikan album baharunya yang berjudul Yuna di Amerika Syarikat serta sedang merancang untuk mengadakan konsert jelajahnya di seluruh negara itu selama 30 hari bermula Jun depan, dia masih sempat pulang ke Malaysia untuk mengikat kontrak bersama butik hiasan rumah, Macy dan produk kecantikan Follow Me.

Menolak tanggapan dirinya kini sudah tamak, jelas Yuna, dia menerima tawaran sebagai duta untuk beberapa produk seperti Canon, Macy dan Follow Me bukan disebabkan duit, tetapi kerana syarikat tersebut menghargai karier muziknya.

Malah akui Yuna, semua produk yang diwakilinya tidak langsung mengalih perhatiannya terhadap karier nyanyiannya di Amerika mahupun di Malaysia.

"Saya tak ada masalah untuk menjadi duta mana-mana produk. Bukan sebab saya tamak menerima semua tawaran, tetapi syarikat-syarikat tersebut menghargai dan percaya dengan karier muzik saya.

"Sebagai contoh menjadi duta produk Canon, memberi peluang kepada saya untuk merakamkan perkara menarik dalam hidup kerana saya sendiri meminati bidang fotografi. Macy pula sebaliknya, memberi saya peluang untuk mereka bilik tidur sendiri seterusnya memberi inspirasi kepada peminat dan masyarakat keseluruhan," jelasnya yang turut memberitahu pihak pengurusannya di Amerika Syarikat tidak membantah penglibatannya menjadi duta produk di negara ini.

Tegas

Sejak daripada awal lagi Yuna menegaskan kepada pihak pengurusannya di Amerika Syarikat iaitu Fader Label untuk tidak mencampuri urusan serta aktivitinya di Malaysia.

"Jika ia berkaitan dengan kerjaya saya di Amerika mereka berhak untuk masuk campur tetapi tidak untuk aktiviti saya di Malaysia. Ia sudah dipersetujui sejak awal lagi.

"Jadi, tidak timbul sebarang masalah jika saya mewakili sesuatu produk atau ingin mengeluarkan album di negara saya sendiri," tuturnya.

Mengulas mengenai albumnya di Amerika, walaupun penat kerana perlu kerap berulang alik dari Amerika ke Malaysia, Yuna akui sangat gembira apabila album pertamanya di negara berkenaan akhirnya dilancarkan.

Malah, Yuna cukup terharu dengan sambutan yang menggalakkan daripada peminat di sana.

"Buat masa ini memang saya sibuk sangat untuk mempromosikan album terbaharu saya. Bayangkan setiap negeri di Amerika ada 10 stesen radio berbeza dan rangka promosi yang diaturkan sangat padat tetapi saya gembira melakukannya," ujarnya.

Album baharu Yuna itu telah dilancarkan pada 24 April lalu di kota New York.

Yuna yang turut menghasilkan single keduanya iaitu Lullabies akan sibuk dengan konsert jelajah ke seluruh negara itu bermula bulan Jun ini selama 30 hari.

"Selama tempoh tersebut saya akan mengadakan sebanyak 30 persembahan di pelbagai tempat. Saya tidak pernah membuat persembahan selama 30 hari berturut-turut tetapi saya akan menyahut cabaran ini dan begitu teruja untuk menjelajah ke seluruh Amerika," katanya mengenai percaturan syarikat rakamannya untuk album baharunya di sana.

Gementar


Bercerita mengenai kemunculannya dalam program temu bual popular di Amerika Syarikat, Conan yang dikendalikan oleh Conan O'Brien pada 2 April lalu, akui Yuna, pada mulanya dia sangat gementar namun dia berjaya mengatasi perasaan gementarnya apabila memikirkan keluarga dan peminatnya di tanah air.

Tambahnya, dia tahu keluarga dan peminatnya akan menonton dan mahu membuat semua orang di Malaysia bangga.

Yuna memberikan persembahan bertenaga dengan lagu Live Your Life yang mendapat sentuhan penerbit muzik terkenal, Pharrell Williams.

"Peluang seperti ini bukan datang selalu, walaupun gementar saya cuba lakukan yang terbaik. Saya juga amat berharap album saya di Amerika akan dilancarkan di Malaysia untuk peminat saya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...