Searching...
Friday 25 May 2012
15:19 0

Warga emas dikebumi hidup-hidup


BEIJING: Satu pasangan muda ditahan semalam selepas disyaki menanam seorang wanita hidup-hidup setelah melanggarnya dengan kereta.

Kes itu yang mencetuskan kemarahan orang ramai, berlaku di wilayah Zhejiang, timur China, membabitkan seorang wanita berusia 68 tahun.

Pasangan berkenaan disyaki melanggar wanita itu ketika memandu pulang selepas minum di sebuah bar karaoke pada 30 April lalu dan mereka menanam mangsa bagi mengelak tindakan undang-undang, lapor akhbar China Daily.

“Wanita itu dipercayai belum mati ketika ditanam,” kata anggota polis Zhejiang, Zhou, kepada Chinda Daily.

Menurutnya, pakar perubatan mengesan partikel yang sama dengan tanah sekitar kawasan itu dalam paru-paru mangsa.

Seorang anggota polis tempatan yang dihubungi menerusi telefon mengesahkan pasangan itu, masing-masing berusia 25 tahun, ditahan dan disyaki menanam wanita terbabit.

Tidak dapat dipastikan sama ada mereka tahu wanita itu masih hidup ketika menanamnya.

Mayat mangsa ditemui tertanam di kawasan pembinaan pedalaman pada 1 Mei, tidak jauh dari kereta yang didakwa dipandu pasangan muda itu.

Kes itu mencetuskan semula perdebatan mengenai kemerosotan moral di kalangan penduduk China selepas kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang tidak dipeduli oleh orang ramai ketika dia terbaring di jalan raya selepas dilanggar sebuah kenderaan.

“Kita perlu meneliti punca tingkah laku itu dengan mengkaji sistem pelajaran dan sosial negara,” kata seorang pengguna dalam laman blog popular, Sina weibo.

Kes itu juga dibandingkan dengan Yao Jiaxin, pelajar muzik berusia 21 tahun yang membunuh seorang ibu muda selepas melanggarnya dengan kereta di Xian, utara China, pada 2010.

Mangsa hanya cedera ringan tetapi Yao menikamnya lapan kali sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Pemuda itu kemudian ditangkap dan dihukum mati selepas dilapor mengaku membunuh mangsa kerana bimbang sukar menghadapi masalah dengan wanita itu jika mangsa hidup.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...