Searching...
Wednesday 23 May 2012
17:23 0

Wanita ikat wang tunai di badan



( ABDUL RAHIM (tengah) bersama pegawai UPP Kelantan menunjukkan sebahagian wang tunai yang dirampas daripada seorang wanita warga Thailand di Kota Bharu semalam. )


KOTA BHARU – Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya mematahkan kegiatan licik seorang wanita warga Thailand yang mengikat wang tunai berjumlah RM109,050 di badannya sebelum masuk ke negara ini di Kompleks Imigresen Kastam (KIK) Rantau Panjang di sini kelmarin.

Ketua Pengarah UPP, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, wanita tersebut yang tidak mengisytiharkan jumlah wang yang dibawanya sebelum memasuki negara ini ditahan hasil maklumat awam selain intipan oleh pihaknya selama sebulan.

Menurutnya, suspek yang berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi ketika cuba memasuki negara ini dengan menunggang sebuah motosikal bernombor pendaftaran Thailand.

“Pemeriksaan awal menemui wang tunai berjumlah RM40,000 yang disimpan di dalam beg tangan dan diletakkan di dalam bakul motosikal wanita terbabit. Wanita itu kemudian dibawa ke Kompleks UPP Rantau Panjang.

“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah RM109,050 yang diikat pada badannya menjadikan jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas sebanyak RM149,050,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau ditemui ketika menghadiri majlis meraikan pegawai dan kakitangan yang bertukar di Ibu Pejabat UPP Kelantan di sini semalam.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...