Searching...
Friday 25 May 2012
15:39 0

Saya Akan 'Cair' Setiap Kali Lihat Muka Yusry - Lisa Surihani Rancang Masa Untuk Bersama Suami Walaupun Sibuk

SEBELUM ini timbul cerita kononnya Lisa ‘menghalau’ Yusry dari lokasi penggambaran ‘Dendam Orang Mati’ dan Lisa memberitahu, “ Saya bukan halau cuma saya tak bagi dia datang ke set sebab waktu itu saya ada satu babak berat.

“Saya kena buat babak mengamuk dan jika saya tahu dia datang, saya tak boleh nak buat. Ini kerana saya akan cair bila melihat muka dia. Saya hanya bagi dia datang selepas selesai buat babak tersebut. Sebelum ini pun ketika kami sama-sama berlakon filem ‘Ular’ dan memerlukan babak kami memandang antara satu sama lain, Lisa tak boleh buat. Malah, menjadi persoalan juga di sini, adakah Lisa mampu bekerja di bawah arahan dia selepas ini. Apapun, Lisa rasa memang tak boleh kerana bila tengok wajah dia saja, Lisa akan cair.”

“Ramai yang tegur penampilan Lisa sekarang yang agak berisi sedikit. Tidak dinafikan, selepas berkahwin, berat Lisa dah naik iaitu dari 46 ke 50kilogram sekarang. Alhamdulillah, sama juga seperti kehidupan orang lain selepas berkahwin, Lisa bersyukur sangat dengan kehidupan sekarang,” ujar Lisa memberitahu tanggal 23 Mei lalu genap 3 bulan usia perkahwinan mereka.

“Ia satu proses yang sangat seronok. Walaupun sibuk, namun masing-masing saling memahami sebab dalam satu industri. Kami merancang masa dan walau sesibuk manapun, kami akan tetap berusaha untuk luangkan masa bersama-sama.

“Malah, ketika Lisa shooting filem ‘Dendam Orang Mati’ hari itu, Yusry juga akan datang ke lokasi dan buat kerja dia di sana. Macam sekarang, Yusry sedang sibuk dengan ‘post-production’ filem ‘Vikingdom’ dan juga ‘29 Februari’, namun kami akan cuba juga cari waktu bersama.”

Menyentuh soal anak pula, Lisa memberitahu menyerahkan segalanya kepada rezeki dan mengakui tidak merancang mengenai soal cahaya mata. Dalam pada masa yang sama, Lisa yang bakal muncul dengan filem ‘Saya Amat Mencintaimu’ dan ‘Istanbul Akan Datang’ pada bulan Ogos ini juga turut memberitahu tidak sabar untuk berpindah ke rumah baru mereka nanti.

“Buat masa sekarang, kami akan berulang-alik ke rumah keluarga Lisa dan juga dia. Rumah kami berdua kini masih dalam pembinaan dan akan siap tidak lama lagi. Idea asal bagi dekorasi rumah baru kami adalah dari Yusry sendiri. Citarasa kami juga agak sama, jadi tidak susah untuk buat keputusan mengenai konsep rekaan dalaman rumah kami. Bagi rumah baru kami ini, kami bersepakat memilih konsep English-Europian-American.”
Rancang Untuk Berhenti Berlakon?


Sejak mendirikan rumahtangga dengan pengarah, penyanyi serta pelakon, Yusry Abdul Halim, pelakon cantik, Lisa Surihani nampaknya tidak putus-putus menerima tawaran lakonan. Baru saja selesai penggambaran filem ‘Dendam Orang Mati’, Lisa hari ini bakal menjalani pula penggambaran sebuah drama siri 15 episod, ‘Di Manakah Juwitaku’, untuk Astro Ria.

“Lisa memegang watak sebagai Anggun, seorang gadis kampung yang naif. Walau bagaimanapun, Anggun sanggup membuat sesuatu di luar kemampuan dia dalam misi untuk mencari adiknya, Juwita. Bagi drama bersiri, watak ini sangat berbeza dengan watak yang saya terima sebelum ini.”

Ketika ditemui, pelakon filem ‘Papa I Love You’ ini mengejutkan ramai apabila membuat kenyataan, “Kemungkinan selepas drama ini, ia akan menjadi drama siri saya yang terakhir. Saya hanya mahu buat filem dan itupun saya akan lebih memilih. Saya hormat orang yang buat drama siri sebab ia memerlukan komitmen yang tinggi serta tuntutan masa yang lama,” ujar Lisa menafikan suami kesayangannya itu menyekat kerjayanya selepas berkahwin.

“Ini bukan atas permintaan Yusry kerana dia sendiri lagi menyokong dan menggalakkan Lisa berlakon. Ini adalah atas keputusan Lisa sendiri kerana Lisa pun nak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri juga. Walau bagaimanapun, tengok pada keadaan dan rezeki. Jika sudah tertulis untuk buat, saya akan jalankan tanggungjawab saya.”

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...