Searching...
Friday 25 May 2012
12:27 0

Rekod ciptaan Phillip



HAKIKATNYA, bukan satu kejutan apabila Phillip Phillips menjadi juara terkini American Idol yang telah memasuki musim ke-11.

Sejak awal kemunculan, dia hadir dengan aura dan pesona tersendiri. Dalam setiap persembahan yang dilakukan pada setiap minggu, Phillip dilihat sentiasa konsisten walau sesekali ditegur juri tentang pemilihan lagu yang dibuatnya kurang bersesuaian untuk sebuah pertandingan. Namun Phillip adalah Phillip. Dia berani mengambil risiko, mendengar gerak hati dan sentiasa tampil dengan idea yang segar.

Maka ketika dia dipilih oleh sebanyak 132.2 juta peminat sekali gus menewaskan pesaingnya yang juga bukan calang-calang gadis, Jessica Sanchez ia dilihat bukan satu keputusan yang semborono.

Malah undian tersebut merupakan rekod baharu dalam sejarah American Idol sejak program realiti TV dimulakan 11 tahun lalu.

Malah laporan akhbar Los Angeles Times menyifatkan pertarungan akhir antara Phillip dan Jessica telah menampakkan bahawa kemenangan akan berpihak kepada Phillip.

Ia berikutan impak daripada keupayaan Philip yang mengalunkan lagu Billy Joel, Movin' Out menjadi seperti lagu miliknya sendiri manakala Jessica pula mendendangkan lagu balada berjudul Change Nothing.

Sementelah Jessica dikatakan langsung tidak memberi saingan kepada Phillip, malah dia disarankan Los Angeles Times untuk mencari nama komersial bagi memastikan kelangsungan kariernya berjalan lancar.

"Ia adalah satu penghormatan buat saya kerana dapat beraksi di atas pentas ini dan bermain dengan banyak orang yang hebat.

"Kepada para peminat saya, berterima kasih kerana mengundi kami berdua sehingga ke peringkat ini," ucap Phillip sebelum diumumkan sebagai pemenang baharu program tersebut.

Berusia 21 tahun, Phillip yang berasal daripada Leesburg, Georgia, Amerika Syarikat sememangnya bukan peserta yang pertama tampil dalam American Idol bertemankan gitar atau kebolehan bermain instrumen. Dia juga bukan peserta pertama yang berbakat mengubah lagu sedia ada menjadi lebih segar.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...