Searching...
Sunday 6 May 2012
14:13 0

Perbezaan Kadar Gaji Minimum Semenanjung, Sabah Sarawak Berdasarkan Kajian Bank Dunia

KUCHING: Penetapan gaji mimimum, yang menunjukkan perbezaan kadar antara Semenanjung dan Sarawak, Sabah dan Labuan, adalah berdasarkan kajian terperinci, termasuk oleh Bank Dunia. 

Pengiraan kadar berkenaan, yang berdasarkan fakta ekonomi dan statistik, bepandukan kepada lima kriteria iaitu pendapatan garis kemiskinan, gaji penengah, indeks harga pengguna, perubahan produktiviti buruh dan kadar pengangguran yang dirumuskan mengikut formula - RM956.70 bagi Semenanjung manakala Sabah dan Labuan (RM771.58) dan Sarawak (RM781.21).

"Sekiranya kadar (gaji mimimum) ditetapkan pada kadar RM900 bagi Sarawak, Sabah dan Labuan, dibimbangi majikan, khususnya majikan kecil, di negeri-negeri tersebut akan menghadapi masalah untuk terus beroperasi atau terpaksa menutup operasi dan pekerja akan kehilangan perkerjaan," kata Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selepas menimbang syor oleh Majlis Perundingan Gaji Negara, kerajaan memutuskan bahawa kadar bagi Sarawak, Sabah dan Labuan tidak wajar kurang daripada RM800, iaitu selaras pendapatan garis kemiskinan kebangsaan pada RM800. 

Memandangkan gaji penengah untuk Semenanjung ialah RM1,134 berbanding RM738 (Sarawak) dan RM577 (Sabah dan Labuan), kenyataan itu berkata adalah tidak wajar menyatakan bahawa kerajaan menganaktirikan pekerja di negeri-negeri terbabit. 

Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya gaji minimum yang ditetapkan itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum. 

Kementerian berkenaan berkata kerajaan seboleh mungkin ingin merapatkan jurang perbezaan antara wilayah, namun perkara itu tidak boleh dilakukan secara drastik memandangkan ia boleh memberi kesan negatif kepada guna tenaga dan ekonomi negara.
Bagaimanapun, penetapan gaji mimimum yang berbeza itu adalah untuk permulaan sahaja dengan kadarnya dikaji semula setiap dua tahun, dan kerajaan berharap dapat diselaraskan kepada satu kadar untuk seluruh negara pada masa akan datang. 

Gaji minimum terbabit meliputi semua pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara kecuali perkhidmat domestik, pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya. 

Pelaksanaan ia bermula enam bulan dari tarikh perintah gaji mimimum diwartakan dan 12 bulan bagi majikan kecil untuk membuat persediaan sepenuhnya agar perniagaan mereka tidak terjejas. - BERNAMA 

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...