Searching...
Thursday 10 May 2012
19:59 0

PBB menafikan lulus ‘gas pemedih mata’






KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan bahawa badan antarabangsa tersebut terlibat dalam ‘meluluskan’ senjata seperti gas pemedih mata sebagai reaksi kepada dakwaan kerajaan Malaysia bahawa gas pemedih mata yang digunakan dalam Bersih 3.0 adalah diluluskan PBB.

“PBB tidak menetapkan piawai antarabangsa terhadap sebarang jenis bahan iritasi, atau meluluskan ‘CS Gas’ sebagai bahan pengawal rusuhan,” kata Dr Lin Mui Kiang, penyelarasan pakar PBB bagi Malaysia.

Beliau merujuk kepada satu laporan oleh akhbar milik MCA, The Star yang memetik Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik (Persenjataan), ACP Syed Mustafa Raja Syed Nordin sebagai mempertahankan penggunaan gas pemedih mata, bom gas pemedih mata, kanister gas pemedih mata dan semburan lada di perhimpunan Bersih 3.0.

"Kesemuanya diimport dari Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Switzerland serta mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Alat ini mengandungi 'gas CS' yang diluluskan oleh PBB sebagai ejen kawalan rusuhan. Kebanyakan negara mengesahkan penggunaan gas ini tidak membawa maut," beliau dipetik sebagai berkata.

Mengutuk kekurangan profesionalisme oleh media perdana Malaysia dan pegawai awam, Lin turut melahirkan rasa kesal bahawa PBB tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum The Star membuat laporan tersebut, yang disifatkan beliau jauh tersasar daripada ketepatan maklumat.

Beliau mengingatkan walaupun dalam situasi di mana kekerasan dan senjata perlu digunakan, pihak berkuasa mestilah bertindak secara terkawal, minimakan kerosakan dan kecederaan, hormat dan lindungi nyawa.



“Kita di PBB menyeru agar para wartawan untuk menyelidik dan melaporkan secara betul dan tepat atas segala maklumat dan prosedur yang melibatkan PBB. Kita percaya bahawa professionalisme sebegini perlu juga ada pada pegawai awam,” kata Lin.

Sebanyak lebih 250,000 peserta telah menbanjiri Kuala Lumpur pada April 28 yang lepas untuk menyatakan sokongan terhadap Bersih 3.0 untuk menuntut penambah-baikan segera pada sistem pilihanraya negara.

Lebih 500 peserta telah ditahan, ramai yang tercedera termasuk polis dan wartawan.

Kerajaan Barisan Nasional terdahulunya telah menolak tawaran seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Frank William La Rue,  untuk menyiasat Bersih secara objektif.

Sebaliknya, kerajaan melantik bekas ketua polis negara Hanif Omar untuk mengetahui “panel penasihat bebas” untuk menyiasat insiden keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...