Searching...
Thursday 10 May 2012
17:14 0

Menteri kata Tun Hanif Omar 'kurang sesuai' jadi pengerusi panel kerana melibatkan siasatan ke atas tindakan polis




SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik pembentukan Panel Penasihat Bebas enam anggota bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian rusuhan berikutan penganjuran Bersih 3.0 di ibu negara bulan lalu.

Bagaimanapun kata Saifuddin, beliau melihat pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel itu "kurang sesuai."
"Saya amat menghormati Tun Hanif. PDRM berada di zaman kegemilangannya semasa beliau Ketua Polis Negara. Menjadi ahli panel, sesuai. Tapi sebagai Pengerusi Panel, kurang sesuai kerana ia (turut) melibatkan siasatan ke atas tindakan polis (semasa Bersih 3.0)," kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan hari ini.
Malah katanya, beliau tiada masalah dengan keenam-enam ahli panel, tetapi "cuma  ia akan lebih baik" jika ditambah dengan mereka yang ada rekod baik dalam kerja-kerja hak asasi dan penambahbaikan demokrasi.

"Bagi saya ini satu peluang yang baik bagi kerajaan memperbetulkan persepsi dan menjelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya berlaku. Dan, jika dijalankan dengan baik, menggunakan peluang ini dengan baik, saya rasa ia akan mendatangkan faedah kepada kerajaan," kata beliau.

Selain Hanif selaku pengerusi, anggota panel terdiri daripada bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.
Kata Saifuddin, beliau merasakan Sim boleh mengetuai panel tersebut.
Mengumumkan perkara itu semalam,

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, panel penasihat akan mengadakan mesyuarat pertama mereka secepat mungkin untuk menentukan terma rujukan serta peranan mereka.
Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri semalam sekali lagi memberikan penekanan kepada keperluan untuk mempertahankan keluhuran undang-undang, konsisten dengan pendirian kerajaan dalam mencari kebenaran, keadilan serta pembelaan kepada semua pihak.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan agar panel penasihat bebas ini dapat memberi ruang kepada semua pihak untuk mengemukakan laporan, bantahan, maklum balas, serta bahan bukti berkenaan kejadian rusuhan itu," katanya.

Menurutnya, pada masa yang sama, polis akan terus dengan siasatan mereka berhubung kejadian rusuhan itu, dan mengemukakan hasilnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Hishammuddin berkata, penubuhan panel itu juga bertujuan menyediakan saluran kepada mereka yang merasakan menjadi mangsa pihak tertentu pada hari kejadian, dan merasakan seolah-olah tidak ada saluran yang telus untuk mendengar luahan serta pandangan mereka mengenai apa yang berlaku.
Katanya, beliau percaya anggota panel itu cukup diyakini untuk memuaskan hati semua pihak.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...