Searching...
Saturday 26 May 2012
12:58 0

KJ Tidak Sangka Akan Tersingkir Dari Mentor 6


SETELAH Ana Syuhada tersingkir daripada persaingan Mentor 6, kali ini tiba pula giliran Abd. Kadir Unding Lana atau KJ apabila mendapat markah terendah pada saingan Kumpulan B yang berlangsung pada Ahad lalu.

Menjadi peserta terakhir yang membuat persembahan menerusi lagu medley Ombak Rindudan Bila Cinta serta Sesal Mendua ternyata, ia gagal menarik perhatian juri iaitu Datuk Sharifah Aini dan Datuk Ramli MS serta penonton dengan memperoleh markah sebanyak 48 peratus.

"Sejujurnya saya tidak sangka akan tersingkir pada malam ini kerana yakin telah membuat persembahan dengan baik. Jadi, saya anggap sudah tiada rezeki untuk meneruskan saingan dan menerima keputusan ini dengan terbuka.

"Kalau diikutkan perbezaan jumlah markah antara saya dan Zatul (protege Ogy Ahmad Daud) sebelum konsert berlangsung cuma satu markah. Mungkin beberapa kesilapan yang saya lakukan menyebabkan peluang saya terus tertutup," ujar protege kepada Adam itu dalam sidang akhbar usai konsert tersebut.

Persaingan yang berlangsung pada malam tersebut menyaksikan Zatul memperoleh markah tertinggi sebanyak 71 peratus setelah mempersembahkan dua buah lagu iaitu Tak Bisa Memilihmu dan Lagu Untukmu.

Caroline yang mendapat bimbingan daripada penyanyi Ella pula turut tidak menghampakan semasa mempersembahkan dua buah lagu, Aku Bukan Untukmu dan Elang dengan mendapat markah sebanyak 60 peratus.

Ditebak mengenai punca beberapa kesilapan yang telah dilakukannya pada persembahan minggu terakhir, KJ mengakui dia sebenarnya mula gugup setelah menyaksikan persembahan kedua-dua pesaingnya itu.

"Ketika menyaksikan persembahan Caroline, saya masih mampu lagi bertahan kerana dia sudah mengumpul jumlah mata keseluruhan yang tinggi untuk tempoh tiga minggu konsert.

"Bagaimanapun apabila melihat Zatul menampilkan persembahan yang sangat baik, akhirnya saya mula rasa sedikit tertekan. Apatah lagi dia mendapat markah penuh daripada juri awam," ujarnya.

Sementara itu, selaku mentor kepada KJ selama empat minggu, Adam tidak kecewa dengan persembahan yang ditampilkan anak didiknya itu dan dia percaya KJ telah melakukan yang terbaik.

"Berdasarkan kepada saingan yang membabitkan ketiga-tiga protege malam ini, peluang untuk layak ke peringkat seterusnya akan tertutup buat mana-mana peserta yang melakukan kesilapan.

"Inilah yang berlaku terhadap protege saya dan akhirnya dia tewas, tidak layak ke separuh akhir. Apa pun saya terima keputusan ini dengan hati terbuka dan segala komen yang diberikan juri tetap akan menjadi iktibar kepada kami berdua," jelasnya.

Tambahnya, biarpun telah tersingkir daripada persaingan, namun dia yakin KJ mampu pergi lebih jauh sekiranya dia berminat untuk bergelar penyanyi dan bersedia membantu dan membimbingnya pada masa akan datang.

Persaingan separuh akhir Mentor 6 yang akan bermula esok menyaksikan empat orang peserta iaitu Anas, Tisha, Caroline dan Zatul akan merebut tiga tempat teratas untuk beraksi di peringkat final pada 10 Jun ini.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...