Searching...
Friday 25 May 2012
23:15 0

Kekasih Anzalna Sanggup 'Diusung' Ke Mana Saja Untuk Tumpang Populariti?

Anzalna dan kekasihnya Hanif ketika menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 di Arena of Stars Genting pada 8 April lalu.

PETALING JAYA: Pelakon Nur Anzalna Nasir tidak kisah dengan persepsi dan pertikaian umum berhubung kekerapannya membawa teman lelaki, Hanif Zaki menghadiri pelbagai acara hiburan.

Menurut Anzalna, 24, perkara itu bukan satu masalah kerana jejaka yang sebaya dengannya itu telah diberikan kepercayaan oleh keluarga untuk menemaninya memandangkan dia tidak mempunyai pembantu peribadi.

“Keluarga tahu Hanif selalu menemankan saya atas urusan kerja. Jika ibu atau adik-beradik tidak sempat menemankan saya, maka Hanif akan diberikan amanah itu.

“Ia bukan satu isu buat saya atau keluarga kerana Hanif sudah lama saya kenali, sejak kami berusia 17 tahun lagi. Dia hanya menemani saya dan bukan kami melakukan perkara yang tidak manis pun,” katanya kepada mStar Online.

Anzalna dikritik segelintir pihak yang mendakwa dia kerap 'mengusung' kekasihnya di depan khalayak dan majlis-majlis hiburan.

Malah, ada juga dakwaan kononnya kekasihnya itu cuba menumpang populariti aktres tersebut.

Ditanya mengenai reaksinya apabila timbul pertikaian yang remeh itu, Anzalna berkata dia berasa kecil hati dan kecewa kerana orang mudah menjatuhkan hukum tanpa mengetahui alasan di sebalik sesuatu tindakan itu diambil.
“Walaupun ia bukan isu besar tetapi terdetik juga perasaan kecewa di hati saya kerana orang mudah bercakap apa saja tanpa mengetahui secara mendalam mengenai sesuatu perkara.

“Saya selesa ditemani oleh dia kerana saya percayakan dia. Malah, dia juga sanggup berkorban masa dan bertolak ansur untuk menemani saya.

"Tiada niat langsung untuk 'tayang' kekasih atau menimbulkan perasaan kurang selesa kepada mana-mana pihak,” tambahnya yang hampir setahun menjalin hubungan dengan Hanif.

Mengenai kerjaya lakonannya yang kian berkembang, pelakon drama Mahabbah (TV3) ini berkata dia semakin berani untuk menerima watak utama dalam drama televisyen dan filem selepas hampir setahun bergelar pelakon.

Katanya, kepercayaan daripada penggiat industri dan rakan-rakan artis memberikan keyakinan kepadanya untuk menyahut cabaran itu.

“Saya semakin berani menerima tawaran watak utama dalam drama dan filem bermula tahun ini. Sebelum ini, saya tidak yakin dan belum bersedia tetapi beberapa penerbit dan pengarah sering memberikan peluang.

“Lakonan terbaru saya boleh ditonton dalam drama aksi Indera Joned di TV3. Selepas ini saya akan terlibat dalam drama Adam & Hawa (Astro) bersama Aaron Aziz dan beberapa buah filem lagi termasuk Dr K Kahwin Lima (KRU Studios),” katanya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...