Searching...
Wednesday 23 May 2012
11:37 0

Dira tinggalkan Melodi


Kontroversi bergaduh dengan seorang wanita di sebuah pusat hiburan terkemuka, kemudian didakwa pula meminum peluntur sehingga dikejarkan ke hospital sekitar April lalu telah membuatkan nama aktres dan pengacara, Khaidhirah Abu Zahar, 28, atau Dira semakin panas.

Impaknya, Dira direhatkan daripada program sensasi Melodi bermula 8 April lalu. Dia juga direhatkan daripada mengikuti sebarang promosi filem terbaharu lakonannya, Chow Kit.

Mengejutkan apabila pihak penerbitan Melodi menerusi penerbitnya Azman Abd. Ghafar mengesahkan Dira kini secara rasmi tidak lagi bersama Melodi dan tempatnya digantikan oleh pengacara Awal Ashaari bergandingan dengan Zizan Razak sebagai pengacara tetap program hiburan itu bermula Jun depan.

Dira yang dihubungi Kosmo! turut mengesahkan berita tersebut dan memberitahu dia secara sukarela menarik diri daripada program itu selepas setahun menimba pengalaman. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Dira baru-baru ini.

Posisi Dira sebagai pengacara Melodi, kini secara rasmi menjadi milik Awal Ashaari. Boleh komen?

Dira: Saya telah dimaklumkan awal berhubung perkara tersebut oleh pihak penerbitan kira-kira dua bulan yang lalu. Sebenarnya mereka ingin mencari seorang lagi pengacara sebagai gandingan supaya kami boleh bertukar-tukar pasangan setiap minggu tetapi saya mengambil keputusan untuk mengundur diri secara sukarela.

Adakah anda undur diri kerana kontroversi yang melanda?

Tidak. Saya undur diri kerana ingin beri fokus kepada keluarga, perniagaan dan bermula bulan April lalu saya telah menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Lim Kok Wing dalam bidang filem digital dan televisyen. Jadi, saya bimbang tidak boleh beri komitmen sebab itu saya undur diri.

Bila membuat perancangan untuk menyambung pengajian?

Sebenarnya sejak tahun lalu, saya ada buat perancangan untuk mengambil kursus jangka pendek di Akademi Filem New York. Tidak jangka pula, saya akan bertemu jodoh sekali lagi dan dilamar menjadi pengacara Melodi. Selepas berkahwin, saya memutuskan untuk sambung pelajaran di dalam negara sahaja.

Kontroversi datang secara kebetulan dengan waktu anda mahu undur diri daripada Melodi. Secara tidak langsung kelihatan seperti anda dipecat daripada Melodi. Komen?

Kontroversi merupakan rencah industri hiburan, saya tidak ada sebarang masalah dengan kontroversi yang melanda. Saya tidak salahkan sesiapa termasuk pihak media yang membuat laporan. Perkara ini terjadi akibat salah faham, jika saya mahu terangkan satu persatu kepada semua orang, takut kontroversi jadi lebih besar. Jadi lebih baik saya diam sahaja, saya manusia biasa yang tidak terlepas melakukan kesilapan, setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah sebaliknya.

Kehadiran anda dalam program Melodi dikatakan tidak membawa sebarang perubahan daripada segi rating. Komen?

Kalau bercakap soal rating sejak mula saya bersama Melodi, banyak pihak persoalkan kenapa saya yang jadi pilihan. Bukan populariti yang saya kejar sebaliknya mampukah saya mengendalikan sebuah program yang mempunyai nama besar itu. Memang saya akui saya tidak sempurna dan harus perbaiki lagi selaku pengacara. Sepanjang setahun saya bersama Melodi, banyak pengalaman baharu yang saya terima.

Kecewa apabila tempat anda digantikan oleh Awal?

Tidak kecewa dengan apa yang terjadi. Ini soal rezeki yang diberi Allah. Jujur, memang saya tidak kecewa dengan sesiapa pun kerana kekecewaan itu beri impak yang negatif. Saya hanya buat kerja saya untuk mencari rezeki yang halal.

Andai pada masa hadapan anda ditawarkan menjadi pengacara program gosip, mahu terima atau tidak?

Rasanya saya tidak akan terima, bukan takut gosip terkena batang hidung sendiri tetapi saya tidak mahu dikenali sebagai pengacara program gosip sahaja. Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai pengacara yang versatil. Bagi saya sudah cukup dengan apa yang saya lakukan bersama Melodi.

Anda menyambung pengajian dan memperlahankan aktiviti lakonan. Merajuk dengan apa yang terjadi?

Tiada istilah merajuk pun. Saya masih berlakon, cuma memilih drama yang benar-benar sesuai. Drama terakhir saya adalah bersama Remy Ishak iaitu Cinta Dalam Hati. Sebenarnya sejak anak sulung saya lahir sehingga kini dia sudah berusia lima tahun, saya selalu sibuk. Sekarang saya mahu beri perhatian kepadanya dan tingkatkan kesihatan diri kerana saya merancang untuk menambah bilangan anak lagi (ketawa).


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...