Searching...
Tuesday 10 April 2012
00:30 0

Stiliyan Petrov Hidap Leukimia



London – Kapten pasukan Aston Villa, Stiliyan Petrov menghidap leukimia selepas dipercayai terdedah kepada radiasi selepas tragedi letupan di loji nuklear Chernobyl, lebih 25 tahun lalu.

Menurut doktor yang merawat Petrov selama 14 tahun dalam pasukan perubatan Bulgaria, Dr Mihail Iliev, ketika kejadian itu berlaku, Petrov baru berusia enam tahun.

Dr Iliev, 61, berkata, pada masa itu, tahap radiasi di utara Bulgaria itu mencecah sehingga 1,000 ke 1,300 kali lebih tinggi daripada paras normal pada penghujung bulan April, 1986.

Malah, katanya kebanyakan mereka yang dilahirkan selepas kejadian itu mengalami kanser.

Keadaan ini berlaku selepas rejim Bulgaria gagal memaklumkan kepada penduduk setempat mengenai kebocoran radiasi dan ancamannya kepada kesihatan.

Ini menyebabkan mereka makan sayur-sayuran dan hidupan laut yang tercemar dengan pencemaran berkenaan.

Dr Iliev bertambah yakin kanser yang dialami Petrov mempunyai kaitan rapat dengan kejadian itu kerana anggota keluarganya tidak mempunyai sejarah menghidap penyakit kanser.

“Tidak ada kes kanser dalam keluarganya, itulah sebabnya saya yakin dia menjadi mangsa kepada rejim komunis yang tidak memaklumkan kepada rakyatnya mengenai ancaman radiasi,,’ katanya.

Petrov, 32, mengumumkan persaraan sepenuhnya daripada bola sepak pada 1 April lalu selepas disahkan menghidap leukimia.

Dia memegang tanggungjawab selaku ketua pasukan pada tahun 2006 ketika dibimbing Martin O’Neill dan terus diberikan peranan penting dalam pasukan itu selepas pemergian O’Neill dan penggantinya, Gerard Houllier dan bos Villa pada masa kini, McLeish.

Petrov dinamakan pemain terbaik di Villa Park pada 2008-2009, dan kekal antara pemain utama dalam skuad kebangsaan Bulgaria, mempunyai lebih 100 cap setelah 14 tahun mewakili negara itu.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...