Searching...
Wednesday 11 April 2012
13:13 0

Selamatkan anak kembar



PAJAM – “Saya hanya fikirkan dua anak kembar saya saja,” kata Nur Shalim Ismail, 36, ketika menceritakan detik cemas dalam kejadian kebakaran membabitkan deretan lima premis di pekan, dekat sini awal pagi semalam.

Menurut Nur Shalim, salah seorang daripada anak kembar berusia 13 tahun itu patah kaki kerana terlibat dalam kemalangan motosikal bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3.45 pagi itu, empat daripada lima premis termasuk kedai runcit dan stor milik keluarganya musnah dijilat api menyebabkan mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Kerugian dianggarkan mencecah RM300,000.

Menceritakan kejadian, Nur Shalim berkata, dia yang sedang nyenyak tidur bersama ahli keluarganya dikejutkan dengan bunyi letupan kecil, sebelum bergegas bangun memeriksa.

“Saya terkejut apabila melihat api sudah mula marak di bahagian bumbung kedai. Saya kejutkan seluruh ahli keluarga termasuk isteri, anak kembar saya dan emak yang semuanya sedang tidur.

“Saya cuba padamkan api dengan menggunakan alat pemadam api, tapi keadaan api sukar dikawal. Melihat keadaan itu, saya segera memapah keluar anak saya yang masih belum boleh berjalan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Ibu Nur Shalim, Aishah Bee, 59, berkata, dia sedih kerana premis niaga diusahakan sejak lima tahun lalu musnah menyebabkan wang hasil perniagaan dianggarkan RM15,000 turut hangus.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Penguasa Bomba Ahmad Nizam Sapaiee berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 3.46 pagi.

Katanya, sebanyak tiga jentera membabitkan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Nilai dan Seremban 2 ditugaskan memadam kebakaran.

“Api berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit. Bagaimanapun, empat daripada premis berkenaan musnah sepenuhnya.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam negeri, Datuk VS Mogan turut melawat tempat kejadian, semalam.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...