Searching...
Friday 27 April 2012
13:19 0

Scha Risau Tak Laku Lepas Kahwin?


PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara wanita yang cantik, Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, atau Scha Al-Yahya mengaku dia berasa risau dan gementar sekiranya rezeki untuk berlakon semakin berkurang selepas dia sah bergelar isteri kepada pengacara lelaki, Awal Ashaari, 31, pada 4 Mei nanti.

Namun, Scha percaya rezeki datangnya dari ketentuan Tuhan dan berada di mana-mana sekiranya dirinya sentiasa berusaha.

Malah, melihatkan rakan-rakan artis yang lain yang sudah berkahwin tetapi masih bergiat aktif sebagai pelakon juga tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha dan mencari rezeki lakonannya sendiri.

“Saya pernah juga terfikir, adakah saya masih diterima oleh para penerbit dan peminat-peminat selepas berkahwin nanti atau mungkin dah tak laku?

“Tetapi saya percaya rezeki itu akan sentiasa ada sekiranya bakat dan kualiti kerja kita seiring,” kata Scha seperti dalam mStar Online.

Dalam kesibukan melakukan persiapan majlis perkahwinan, Scha masih lagi belum berasa gementar dalam menghadapi masa untuk menukar statusnya sebagai isteri orang.

Justeru itu, dia berharap agar perasaan tenang yang sekarang ini ada akan kekal sehingga dia selesai menguruskan majlis hari bersejarahnya dan dipermudahkan segalanya.

“Setakat ini, saya belum merasai debarannya lagi walaupun ramai yang berkata perasaan itu akan muncul buat mana-mana wanita apabila masa untuk menjadi suami isteri itu semakin dekat.

“Bagaimanapun, harap-harap saya tenang melalui peristiwa bersejarah itu,” katanya.

Majlis pernikahan antara Scha dan Awal akan diadakan pada 4 Mei di Hotel Pullman, Putrajaya.

Manakala majlis resepsi mereka akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 6 Mei 2012, dua hari selepas pasangan ini diijabkabulkan.

Dalam pada masa yang sama, segala perjalanan dan persiapan Scha dan Awal untuk bergelar suami isteri telah dirakam dan dipertontonkan kepada umum menerusi program Seia Sekata terbitan stesen Astro yang bermula pada 13 April lalu, setiap hari Jumaat jam 9.30 malam.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...