Searching...
Thursday 12 April 2012
12:54 0

Saya tak perlu lari- Dira



KONTROVERSI yang membadai kehidupan pengacara dan pelakon Dira Abu Zahar pada permulaan bulan April ini amat mengejutkan sekali gus menarik perhatian ramai pihak.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu dilaporkan telah bertindak liar apabila bergaduh dengan salah seorang pengunjung pada pukul 2.30 pagi di sebuah kelab malam di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dua minggu lalu sehingga membabitkan insiden pijak muka dengan kasut tumit tinggi.
Sejurus selepas kejadian itu, Dira meluahkan sesuatu di akaun Twitternya yang berbunyi:"Aku akan cari kau sampai dapat."
Ramai mendakwa kenyataan itu ditujukan kepada individu yang terlibat dengan pergaduhan itu yang telah bertindak membuat laporan kepada pihak polis.
Dalam masa yang sama, Dira juga enggan memberikan komen lanjut berhubung perkara itu apabila ditanya oleh wakil media dan menyerahkan perkara itu untuk siasatan pihak berkuasa.
Seminggu selepas itu, pengacara Melodi itu tidak muncul di program yang bersiaran di TV3 pada setiap hari Ahad itu sekali gus mengukuhkan dakwaan bahawa dia direhatkan daripada mengacarakan program hiburan itu.
Menjawab spekulasi dan kontroversi yang berlaku, Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 28, tampil menjelaskan perkara yang sebenar.
"Tiada apa perkara yang membuatkan saya perlu lari. Saya tak bersalah pun, apa yang mampu saya kongsi, akan saya kongsi. Semakin saya lari orang akan suspek saya yang bersalah.
"Buat masa sekarang kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa dan saya fikir adalah lebih baik untuk tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
"Saya tiada masalah pun dan tak perlu rasanya untuk saya melatah sangat serta tiada alasan pun untuk saya marah sesiapa," ujarnya ketika sesi fotografi di butiknya, Red Garage, Jalan Yap Kuan Seng, Kuala Lumpur, petang semalam.
Gurauan
Pada mulanya tindakan dia menafikan kejadian yang berlaku dan mengunci mulut kerana tidak mahu mengulas cerita yang dia sendiri belum mengetahuinya secara sahih.
"Saya menafikan pada awalnya kerana saya belum sempat membaca apa yang telah dilaporkan mengenai perkara yang berlaku.
"Jadi, untuk mengelakkan salah faham jadi lebih teruk, baik saya menafikan perkara itu," ujarnya.
Isu luahan suaranya di akaun Twitter selepas kejadian itu turut dijelaskan oleh Dira. Katanya setiap patah perkataan mengenai niatnya mencari sampai dapat itu ditujukan kepada suaminya, Mohd. Helmi Mohd. Yusof.
"Saya dan suami suka bergurau dalam Twitter. Individu yang saya maksudkan melalui ungkapan 'cari sampai dapat' itu adalah suami saya yang ketika itu sedang berada di Bangkok, Thailand atas urusan kerja," jelas Dira.
Dira mengakui kontroversi yang melanda kehidupannya baru-baru ini sedikit sebanyak mengganggu kerjaya dan kehidupan peribadinya.
"Isu yang berlaku menjejaskan saya sedikit sebanyak tapi bagi saya selagi tidak ada perkara mengaibkan nama saya maka tidak perlu saya risaukan," kata bekas pengacara Fulus Mania itu.
Tambah Dira lagi: "Saya tiada kuasa untuk menghukum sesiapa atau merosakkan nama baik sesiapa. Itu semua kerja Allah."
Bukan direhatkan
Menjawab isu yang mendakwa dia direhatkan daripada mengacarakan program Melodi apabila dia digantikan dengan Awal Ashaari pada episod yang bersiaran hari Ahad lalu, kata Dira perkara itu tiada kaitan dengan kontroversi yang berlaku sebelum ini.
"Memang saya dan pengurusan rancangan Melodi sudah lama berbincang untuk menambah pengacara menjadi tiga orang supaya lebih menarik dan ada kelainan daripada sebelum ini.
"Kebetulan minggu lalu giliran Awal dan Zizan mengacarakan Melodi, ramai yang membuat spekulasi yang tidak tepat bahawa saya direhatkan akibat kontroversi yang melanda," ujarnya yang akan kembali mengacarakan Melodi beberapa minggu lagi.
"Sebab itu saya lebih selesa untuk tidak menggembar-gemburkan isu ini. Biar tak faham daripada salah faham," bicaranya yang sentiasa mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga dan suaminya.Menganggap kontroversi itu sebahagian daripada proses untuk dia menjadi lebih matang, Dira lebih selesa membalas semua 'serangan' yang datang dengan diplomatik.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...