Searching...
Monday 23 April 2012
07:52 0

Pelajar UPSI Maut Jatuh Bangunan Ada Kaitan Unsur Mistik


IPOH: Seorang pelajar perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang dipercayai mengalami kemurungan, maut selepas terjatuh dari bangunan lima tingkat E-Learning di kampus universiti berkenaan di Tanjung Malim, petang kelmarin. 

Dalam kejadian antara jam 5.30 petang hingga jam 6.30 petang itu, mangsa, Fatimah Mina Md Juferi, 22, dari Bakri, Muar, ditemui terbaring di tingkat bawah bangunan berkenaan dengan kesan luka di beberapa bahagian badan, termasuk patah di rusuk kiri dan kanan, kaki kanan serta bahu kiri dan kanan.

Mayat pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu ditemui lengkap berpakaian dan bertudung oleh beberapa pelajar yang kebetulan melalui kawasan itu.
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, berkata insiden itu di luar kawalan pihaknya dan menyifatkan ia mungkin ada kaitan unsur mistik seperti gangguan makhluk halus. 

“Saya mewakili warga UPSI menyampaikan salam takziah kepada keluarga arwah dan kami turut mengadakan majlis tahlil ringkas untuk arwah, malam semalam (kelmarin) di surau Kampus Proton City, yang disertai beberapa pegawai universiti dan pelajar. 

“Selain itu, dua rombongan bas disertai 80 pelajar, termasuk Penolong Pendaftar UPSI, Musa Jaafar turut mengiringi kepulangan jenazah ke rumah keluarganya di Muar, pagi tadi (semalam) bagi menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepadanya, selain menghulurkan sedikit sumbangan,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Katanya, rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan itu turut mendapati arwah memasuki bangunan itu dalam keadaan seperti separuh sedar sebelum dilihat menaiki tangga ke tingkat atas. 
“Difahamkan, arwah mempunyai sejarah diganggu makhluk halus sebelum ditawarkan memasuki UPSI dan beliau dikatakan sedang mengikuti beberapa rawatan perubatan tradisional serta Islam bagi mengatasi masalah itu. 

“Saya juga dimaklumkan rakan serumahnya, pelajar itu turut berkelakuan pelik sebelum ini, termasuk sering bercakap sendirian dan menangis,” katanya. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kes itu, yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - BH

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...