Searching...
Thursday 26 April 2012
08:44 0

Pelajar Maut Digilis Kereta Api


SEGAMAT: Tindakan seorang pelajar Tingkatan Tiga melintas landasan untuk menyingkatkan perjalanan pulang ke rumah selepas waktu persekolahan, berakhir tragedi apabila digilis kereta api ekspres dekat Genuang di sini, tengah hari semalam. 

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari ketika pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan, Ahmad Iltizam Khalid, 15, berjalan pulang sendirian ke rumah keluarganya di Jalan West, Bukit Siput.


Mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik itu dipercayai melintas landasan melalui pintasan haram di Kilometer 592 Landasan Segamat dan Genuang itu, yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan sekolahnya.

Tren Ekspres Sinaran yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Woodlands, Singapura, tidak mampu berhenti secara mengejut menyebabkan mangsa dirempuh sebelum diseret sejauh kira-kira 50 meter. 

Mangsa cedera parah di kepala, manakala beg berisi bukunya bertaburan di landasan. 

Tren turut berhenti berhampiran lokasi kejadian tetapi perlu mengambil jarak kira-kira 800 meter sebelum dapat berhenti sepenuhnya sejurus kemalangan. Tren itu meneruskan perjalanan selepas polis selesai menjalankan siasatan. 

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata mangsa mati di tempat kejadian sejurus dilanggar kereta api. 
“Mangsa sering menggunakan pintasan pada landasan terbabit untuk perjalanan pergi atau balik dari sekolah setiap hari. 

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk pengebumian,” katanya ketika dihubungi. 

Bapa mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah Segamat, manakala ibunya seorang suri rumah tidak mampu berkata apa-apa sejurus melihat jasad anak kesayangan mereka mereka terbujur kaku di tengah landasan ketika bergegas ke lokasi kemalangan itu. 

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...