Searching...
Sunday 22 April 2012
22:29 0

Peguam Saman Jururawat, Suami Dan Bank, RM2 Juta



KOTA BHARU – Sepasang suami isteri yang juga peguam, memfailkan saman ke atas seorang jururawat dan suaminya, serta sebuah bank bagi menuntut ganti rugi berjumlah lebih RM2 juta atas dakwaan melakukan kecuaian membabitkan perjanjian jual beli tiga pihak pada 2007.

Ahmad Rasydan Abdul Rahman, 35, dan pasangannya, Fatimah Nuraidah Abd. Rahman, 34, memfailkan tuntutan saman tersebut di Mahkamah Tinggi di sini hari ini melalui Tetuan Mohd. Nasir dan Mohd. Faizal.

Dalam tuntutannya, plantif telah menamakan Noor Zuraini Mohamad Yusoff, seorang jururawat hospital kerajaan berusia 36 tahun sebagai defendan pertama, manakala suaminya, Hasnol Hamid, anggota bomba berusia 38, defendan kedua, sementara cawangan bank terbabit di Tanah Merah, defendan ketiga.

Tuntutan tersebut merupakan tuntutan ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, lain-lain ganti rugi atas segala kos dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh plaintif.

Plaintif yang juga rakan kongsi, dalam pernyataan tuntutan mereka mendakwa, defendan pertama pada 23 November 2007 telah memasuki satu perjanjian jual beli tiga pihak dengan seorang tuan tanah dikenali sebagai Nor Hisham Ghazali dan syarikat pembinaan, Zek Constructions.

Dakwa plaintif, ekoran daripada perjanjian tersebut, defendan pertama beralamat di Machang, telah memohon pinjaman dengan Perbendaharaan bagi tujuan pembiayaan.

Dakwa plaintif lagi, sebaik sahaja pinjaman diluluskan, defendan pertama dan kedua melalui Tetuan Rasydan & Co beralamat di Taman Guru dekat sini, telah bertindak menyediakan dokumen-dokumen berkaitan dan bertindak selaku `pemegang taruh’ bagi memastikan urusan pembayaran pembiayaan pinjaman berjalan lancar.

Berikutan itu, pinjaman atau pembiayaan telah dibayar kepada firma guaman terbabit secara berperingkat antaranya, tuntutan pertama berjumlah RM78,000 pada 12 Jun 2008 dengan akaun penerima `Rasydan & Co.’, serta bayaran kedua RM120,000 empat hari kemudian.

Plaintif bagaimanapun mendakwa, baki bayaran pinjaman oleh Perbendaharaan sebanyak lima peratus atau RM12,000 telah dikreditkan ke dalam akaun defendan kedua di cawangan bank terbabit di Tanah Merah dan wang itu kemudiannya telah dikeluarkan oleh defendan kedua.

Plaintif mendakwa, defendan kedua mengakui memasukkan cek tersebut ke dalam akaunnya, begitu juga pihak bank mengakui kesilapannya dan berjanji menyelesaikan masalah tersebut dengan menghantar wakil bagi menyerahkan satu bank deraf berjumlah RM12,000 bertarikh 21 Februari lalu, dan diterima dengan protes.

Dakwa plaintif, tindakan bank tersebut membenarkan cek berkenaan ditunaikan ke dalam akaun defendan kedua adalah bercanggah dan melanggar undang-undang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Malah dakwa plaintif, kejadian itu menunjukkan ketiga-tiga defendan telah cuai atau berniat jahat atau berpakat dalam menunaikan cek dan menyebabkan plaintif mengalami kesusahan atau hilang keyakinan anak guam mereka selain mengalami tekanan.

Plaintif turut mendakwa mengalami kerugian kerana terpaksa mengganti cek tersebut, selain hilang reputasi sebagai seorang peguam bela dan peguam cara, justeru menuntut ganti rugi terbabit dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh pihak mahkamah.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...