Searching...
Tuesday 17 April 2012
13:53 0

Mat Zan tuntut pemain perkemaskan penyudah


MAT ZAN (dua dari kanan) memberi penerangan kepada pemain-pemain Terengganu pada sesi latihan mereka di Kuala Terengganu kelmarin.


PENGENDALI Terengganu, Mat Zan Mat Aris menuntut jentera serangan pasukannya agar tampil lebih bertenaga untuk memburu jaringan seandainya berhajat mahu membawa skuad Penyu ke puncak liga musim ini.
Ingatan Mat Zan itu disuarakan ketika saingan Liga Super sudah memasuki pusingan kedua, sekali gus menyaksikan anak-anak buahnya akan berkunjung ke Paroi menentang Negeri Sembilan malam ini.
Sabtu lalu, skuad dari Pantai Timur itu berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu menerusi jaringan sendiri pemain lawan dan Mat Zan mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki bagi menjamin kemenangan pasukan.
Justeru, bekas jurulatih Kuala Lumpur itu mengharapkan penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe dapat mengembalikan rentak cemerlangnya selepas selesa mengumpul sembilan gol peribadi setakat ini.
"Doe sangat berkesan pada awal musim tetapi sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini, dia kurang menjaringkan gol walaupun telah bekerja keras untuk melakukannya.
"Saya harap dia mampu menemui sentuhan jaringan pada perlawanan di Paroi esok (malam ini)," kata Mat Zan di Kuala Terengganu semalam.
Dalam pada itu, Mat Zan turut mengharapkan gandingan pemain tempatan, Ashaari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat agar dapat menyumbang sesuatu kepada pasukan.
"Bahagian serangan kami pasti lebih menyengat jika ketiga-tiga pemain ini berada pada prestasi terbaik memandangkan mereka mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut.
"Saya rasa kami perlu mencari formula baharu bagi memastikan bahagian serangan pasukan Terengganu semakin mantap," ujarnya.
Untuk rekod, Terengganu yang kini menduduki tangga ketiga liga dengan 24 mata sekadar mengumpul 19 jaringan, jauh berbanding Kelantan dan Lions XII yang masing-masing merekodkan 25 dan 24 gol.
Di jentera pertahanan pula, skuad Penyu yang dibarisi ramai pemain kebangsaan termasuk bintang baharu, Muslim Ahmad dan Faizal Muhammad telah dibolosi 15 gol.
"Kami perlu berhati-hati dengan Negeri Sembilan kerana pasukan itu memiliki barisan pemain berpengalaman, terutamanya penyerang importnya, Effa Awona.
"Jadi, bahagian pertahanan kami perlu kental dan jangan sesekali melakukan kesilapan mudah yang mampu memberi ruang kepada pemain lawan menjaringkan gol," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...