Searching...
Monday 30 April 2012
01:53 0

Malaysia belasah Sri Lanka


WAN ZACK (kiri) meledak dua gol ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Sri Lanka 6-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.


HARIMAU Malaya menepati ramalan apabila tampil garang membelasah Sri Lanka 6-0 pada aksi perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi.
Enam gol tersebut dihasilkan menerusi penggempur Harimau Muda, Wan Zack Haikal (dua gol), Ahmad Hazwan Bakri (hatrik) serta satu jaringan daripada penyerang Pahang, Azamuddin Mohd. Akil.
Pada perlawanan tersebut, Harimau Malaya tampil garang seawal minit ke-19 tetapi Ahmad Syakir Ali gagal memanfaatkan hantaran Safee Sali.
Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu dilihat semakin yakin selepas percubaan pertama itu dan seperti dijangka mereka berjaya menguasai bahagian tengah, sekali gus menghadirkan tekanan buat pasukan lawan.
Hasilnya, skuad negara berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi Wan Zack yang tidak mensia-siakan lorongan Safee pada minit ke-25.
Berselang dua minit kemudian, Wan Zack sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gawang Sri Lanka, Weearsinghe Sinnath apabila penyerang Harimau Muda itu bijak membaca hantaran jauh Safiq Rahim untuk menjadikan kedudukan 2-0 sehingga tamat aksi separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad negara terus mendominasi perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus, namun gagal menembusi gawang pasukan pelawat yang dilihat lebih banyak bertahan daripada melancarkan serangan.
Penyerang gantian, Hazwan kembali menceriakan 5,000 penyokong fanatik Harimau Malaya apabila meledak gol ketiga untuk skuad negara pada minit ke-71.
Selang 10 minit kemudian, Hazwan sekali lagi muncul sebagai pemusnah apabila menjaringkan gol keempat sebelum Azzamuddin menjaringkan gol kelima Harimau Malaya pada minit ke-81.
Hazwan melengkapkan kemenangan bergaya buat pasukan tuan rumah apabila menjaringkan hatrik pada masa kecederaan.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...