Searching...
Wednesday 18 April 2012
23:32 0

Lebih RM3 Bilion Peluang Berniaga Untuk Bumiputera



KUALA LUMPUR – Usahawan dan ahli perniagaan Bumiputera digesa mengambil kesempatan daripada peluang perniagaan bernilai lebih US$1 bilion (RM3 billion) yang bakal diumumkan pada Konvensyen Antarabangsa ke-11 GOPIO (Pertubuhan Global Orang Asal India) 2012.

Konvensyen ini akan berlangsung pada 20-22 April 2012 di Crystal Crown Hotel, Petaling Jaya dan bakal dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Lebih daripada US$1 billion (RM3 billion) peluang perniagaan merentasi pelbagai sektor ekonomi akan diumumkan pada persidangan tiga hari yang membawa bersama ahli-ahli GOPIO daripada 20 buah negara di seluruh dunia.

Tema persidangan tahun ini ialah ‘Rakan dalam Pembangunan Negara’ dan mencerminkan semangat keusahawanan ahli-ahli GOPIO dinegara-negara yang diduduki oleh mereka.

Pengerusi Konvensyen Antarabangsa GOPIO 2012 Datuk Dr. V. Shanmuganathan berkata, usahawan Bumiputera boleh mengambil kesempatan daripada banyak peluang ekonomi merentasi pelbagai sektor dinegara-negara seperti India, Sri Lanka, Afrika Selatan, Amerika Selatan dan Asia.

“Kami menggalakkan usahawan Bumiputera untuk turut mengambil bahagian dalam persidangan tiga hari ini kerana mereka boleh melibatkan diri mereka dengan peluang-peluang perniagaan yang akan diumumkan buat pertama kali melalui GOPIO,” kata Shanmuganathan.

Menurutnya, antara peluang yang wujud adalah disektor sumber asli, logistik, petroleum, nadir bumi, pelabuhan bebas dan sebagainya.

Konvensyen ini juga akan memaparkan persidangan khas oleh usahawan dan pegawai kerajaan daripada pelbagai negara mengenai trend ekonomi baru dan sektor-sektor yang boleh diceburi oleh usahawan Malaysia di persada global.

Antara topik-topik persidangan termasuk: Peluang Pelaburan diekonomi baru India, Peluang Usahawan Teknologi, Peluang Pelaburan dalam Sektor Pelabuhan Bebas Mauritius, Peluang Perniagaan di Afrika Selatan, Peluang di Sri Lanka, E-Commerce Untuk Usahawan Global, Kredit & Pinjaman Perniagaan, Pertukaran Matawang Asing dan juga sektor pertanian.

Antara yang dijangka hadir pada Konvensyen termasuk Mookhesswur Choonee, Menteri Kanan dari Republik Mauritius; AR Jumabhoy, Pengerusi Edge Capital Pte Ltd Singapura; Rajen Pillay, Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Finance South Africa serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dari 10 buah negara dan juga ahli-ahli perniagaan GOPIO.

Persidangan ini disokong oleh Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur, Persatuan SMI Malaysia, KL & Selangor Indian Chamber of Commerce, Persatuan Perniagaan India Malaysia dan Rangkaian Usahawan Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...