Searching...
Wednesday 18 April 2012
12:58 0

Kos RM77.3 Juta My Way Filem Korea Termahal?



KUALA LUMPUR – 'My Way' merupakan sebuah filem genre perang dari Korea pertama berlatar belakangkan era perang dunia kedua bakal menggegarkan pawagam-pawagam di seluruh Malaysia bermula 19 April ini.

‘My Way’, membongkar misteri seorang pemuda Korea yang merupakan satu-satunya tawanan perang berketurunan Asia yang terselamat setelah menempuh tiga peperangan besar melibatkan tentera Mongolia, Kesatuan Soviet dan tentera Jerman yang mengheret dirinya sejauh 12,000 kilometer meninggalkan kampung halamannya.

Di bawah arahan Kang Je-kyu, filem yang menelan modal sebanyak RM77.3 juta ini telah mengangkat industri filem Korea ke satu tahap yang boleh dibanggakan dengan paparan perang segenap dunia termasuklah peristiwa petempuran dahsyat di Normandy yang pernah diabadikan menerusi filem Hollywood, ‘Saving Private Ryan’.

Mempertaruhkan pelakon hebat Korea, Jang Dong-gun, filem ini telah mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM36 juta sewaktu tayangannya di Korea pada Disember 2011, manakala kutipan keseluruhan tayangannya di pasaran antarabangsa telah menjangkau sebanyak RM108.5 juta setakat ini.

Kini, tiba giliran rakyat Malaysia pula untuk menyaksikan filem terhebat Korea ini apabila Knotty Ideas Sdn Bhd dengan kerjasama Alternate Pictures membawa masuk filem itu ke sini.
Menariknya, filem ‘My Way’ ini diinspirasi melalui sekeping gambar yang memaparkan imej seorang pemuda Asia yang berdiri dikalangan tawanan tentera Jerman semasa penaklukan tentera bersekutu di Normandy.

Penemuan gambar di bawah simpanan Arkib Negara Amerika Syarikat itu yang didedahkan kembali melalui rancangan dokumentari Korea telah menarik perhatian Kang untuk menyelami maksud tersirat disebalik gambar misteri tersebut.

“Saya telah mengetahui perkara itu sejak 4 tahun yang lepas”, kata Kang semasa sidang media Festival Filem Antarabangsa Busan 2011. “Kemudiannya, saya telah menonton secara tidak sengaja paparan 3 episod dokumentari SBS berkaitan penemuan gambar misteri tersebut kira-kira dua tahun setengah yang lepas, yang akhirnya membuatkan saya terlalu memikirkannya. Jadi saya memutuskan untuk mengarah saja filem ini”.

Menceritakan kisah dua pelari maraton – Kim Jun-shik (Jang) yang bercita-cita ingin menjadi seperti pelari negaranya, pemegang pingat Emas Korea dan Hasegawa Tatsuo (Odagiri), pelari terpantas Jepun. Mereka bertemu sebagai musuh semasa zaman kecil dan saling menyaingi antara satu sama lain hinggalah ke zaman dewasa mereka.

Setahun kemudiannya, Jun-shik telah dikerah untuk menjadi tentera militan Jepun setelah dipersalahkan sewaktu pemilihan Olimpik Jepun. Takdir mereka tetap bersama apabila Tatsuo menjadi Kolonel dalam tentera Jepun. Mereka bersama-sama bertempur dalam perang dunia kedua dari mengenakan seragam Jepun kepada Kesatuan Soviet dan Jerman sebelum akhirnya sampai di Normandy, Perancis.

Walaupun masih bermusuh namun peperangan demi peperangan yang ditempuhi telah secara perlahan merobohkan tembok pemisah antara dua pemuda berlainanan negara ini.
Kang menghabiskan masanya selama 3 tahun untuk menghasilkan skrip filem ini.

Pra produksi pula mengambil masa selama 8 bulan sebelum mereka memulakan penggambaran pada Oktober 2010 yang memakan masa sebanyak 156 hari termasuk lokasi di Latvia. Bergandingan dengan Jang adalah pelakon kesayangan rakyat Jepun, Joe Odagiri yang membina karier lakonannya dalam industri perfileman Korea, Fan Bing Bing, aktres popular China serta pelakon berpengalaman Korea, Kim In-kwon.

Pengarah yang paling berpengaruh di dalam industri perfileman Korea itu sekali lagi mempercayai bakat lakonan Jang yang pernah membantu kejayaan besar filem arahan terdahulunya, Tae Guk Gi: The Brotherhood of War. Filem yang mencipta fenomena baru dalam genre filem perang di Korea itu telah berjaya menarik perhatian penonton seramai 12 juta orang sekaligus mencatat sejarah dalam era perfileman Korea.

“Saya berjalan seperti mana orang lain berjalan”, ujar Kang sejurus ditanya mengapa dia menggunakan tajuk ‘My Way’ yang juga merupakan tajuk lagu popular yang dinyanyikan oleh Frank Sinatra. “Filem ini sendiri mengenai maraton dan impian. Tajuk ‘My Way’ itu menunjukkan bagaimana Jun-shik mengharungi hidupnya demi mencapai impiannya seperti mana orang lain juga membuat perkara yang sama. Walaupun terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan isu ini namun saya tetap sukakan tajuk ini”.

Jang yang turut berada sewaktu sidang media mengakui, “Selepas Tae Guk Gi, saya tidak fikir akan ada filem perang sehebat itu lagi”. Walaupun Kang ada memberitahu dirinya mengenai rancangan untuk menghasilkan sebuah filem garapan dari dokumentari namun masih timbul keraguan kerana Kang sendiri tidak yakin jika dia boleh mengarahkannya.

Tambahnya, “Bila saja saya tahu Kang Je-kyu akan mengarahkan filem ini, terus saya setuju untuk menyertainya. ‘My Way’ juga mencabar kemampuan Jang untuk menyampaikan emosi yang dapat dihayati oleh orang Jepun. Joe Odagiri banyak membantu saya. Odagiri adalah seorang pelakon yang hebat mendalami perwatakan dan dia juga tegas melakukan kerjanya sebagai pelakon…kami memang sekepala”.

Manakala Odagiri yang juga merupakan pelari maraton sebenar di Jepun menganggap Jang merupakan pelakon yang bagus. “Dia sangat membantu ketika kami berlakon bersama. Saya dapat merasakan keserasian yang terjalin di antara kami. Jika saya wanita, pasti saya sudah jatuh hati padanya.” ujar Odagiri berseloroh.

Berpaksikan peristiwa sejarah perang yang terjadi sekitar abad ke 20 yang melibatkan insiden Nomanhan, peperangan dahsyat antara tentera Soviet dan tentera Jerman dan kejadian perang yang melibatkan banyak nyawa terbunuh di Normandy menjadikan filem ‘My Way’ berupaya untuk menarik perhatian seluruh pelusuk dunia termasuklah penonton Malaysia yang bakal menyaksikan filem ini bermula 19 April lebih kurang di 35 buah panggung seluruh Malaysia.

Filem berdurasi 143 minit ini juga menampakkan kemaraan filem Korea untuk berdiri sebaris dengan kehebatan filem-filem perang Hollywood. Ini membuktikan penggunaan alatan berteknologi tinggi dalam industri filem Korea semakin berkembang maju dengan hasil yang dikecapi melalui filem ‘My Way’ di mana kesungguhan mereka mencipta set & peralatan yang sama digunakan seperti zaman dahulu untuk menampakkan keaslian suasana perang sebenar berdasarkan kajian yang telah dilakukan terlebih dahulu.

Fakta menarik yang lain antaranya pembinaan set di atas tapak Saemangeum yang seluas 401 kilometer persegi untuk insiden Nomonhan, peperangan Soviet-Jerman dan pengkalan kem tawanan perang. Dua kereta kebal turut ditempah khas dari England bagi mengikut kriteria jenis kereta kebal zaman dulu selain lori trak dan kereta jip tentera Jepun, motorsikal tentera Jerman serta kereta perisai. Seramai 16,668 pelakon tambahan, 2,000 unit pakaian seragam dan 57,500 butir peluru telah digunakan semasa babak peperangan.

Bintang opera, Andrea Bocelli telah meminjamkan suaranya untuk lagu tema filem ini, ‘To Find My Way’. Dicipta oleh Lee Dong-jun, lagu ini dimainkan di penutup cerita dengan peranan mengekalkan penghayatan penonton kepada mesej yang ingin disampaikan menerusi filem ‘My Way’ ini. Lirik yang bermakna serta alunan suara merdu penyanyinya seakan memberi impak tambahan kepada penonton nanti.

“Detik penggembaraan Jun-shik dalam cerita ini bukan satu fiksyen”, kata Kang mengenai penceritaan dalam ‘My Way’. “Elemen maraton adalah fiksyen. Ini bermakna cerita ini menggabungkan elemen fiksyen dan bukan fiksyen”.

Kang yang juga pernah mengarah untuk filem ‘The Ginko Bed’ (1994), diikuti filem ‘Swiri’ (1998) menyangkal dakwaan yang mengatakan bahawa filem ini seakan-akan membangkitkan kembali detik hitam silam yang melibatkan tiga negara iaitu Korea, Jepun dan China.

Balasnya, “Filem ini tidak menunjukkan pihak mana yang salah dan pihak mana yang menjadi musuh. Filem ini sekadar menceritakan bagaimana seorang manusia yang tidak pernah melepaskan impiannya walaupun diuji dengan hebat semasa perang dunia kedua. Kerana impiannya maka lahirlah sebuah kemaafan dan persefahaman. Filem ini menyentuh lumrah kehidupan manusia”.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...