Searching...
Wednesday 18 April 2012
12:39 0

Greyson Chance digigit peminat



SETELAH kali pertama tampil membuat persembahan sewaktu acara Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18) pada November 2011, penyanyi cilik yang cukup berbakat, Greyson Chance kembali semula menjejakkan kaki ke Malaysia.

Menariknya, kehadiran penyanyi berusia 14 tahun itu ke negara ini adalah bagi menjayakan Konsert Greyson Chance Live in Malaysia yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur semalam.

Ketika ditemui sewaktu temu bual secara eksklusif bersama pihak media sehari sebelum konsert tersebut berlangsung, penyanyi berkenaan meluahkan rasa terujanya untuk menghiburkan para peminat di negara ini.

“Sudah tentu kehadiran saya pada kali ini begitu istimewa kerana sekali lagi dapat bertemu peminat di sini. Kehadiran saya ini adalah sebahagian daripada Konsert Siri jelajah Asia 2012 dan saya memang menantikan untuk membuat persembahan di Malaysia.

“Kalau pada acara AIM 18 dahulu saya cuma dapat beraksi dalam tempoh yang sekejap, tetapi menerusi konsert ini pastinya para peminat dapat menyaksikan persembahan saya dalam durasi yang panjang,” ujar penyanyi kelahiran Texas, Amerika Syarikat itu.

Mula aktif sebagai penyanyi pada tahun 2010, Greyson menarik perhatian ramai setelah dia memuat naik klip video lagu milik Lady Gaga berjudul Paparazzi, dalam versinya di YouTube. Video itu kemudian telah ditonton seramai 45 juta orang di seluruh dunia.

Selain berbakat besar dalam bidang seni suara, penyanyi berkenaan juga turut memiliki bakat bermain alat muzik piano serta mempunyai kebolehan menghasilkan lagu sendiri.

Menurut Greyson, meskipun dia masih lagi baharu dalam industri muzik, tetapi dia sudah berpeluang untuk membuat persembahan di banyak tempat dan sambutan yang diterima daripada peminat sangat menggalakkan.




Ujarnya, selain Malaysia dia juga pernah menghiburkan para peminat di beberapa buah negara Asia yang lain seperti Singapura, Filipina dan Jakarta pada tahun lalu.

“Paling tidak dapat saya lupakan apabila digigit seorang peminat semasa persembahan yang berlangsung di Manila, Filipina. Sudah tentu perasaan saya ketika itu sangat terkejut dan tidak tahu apa motif peminat tersebut bertindak sedemikian. Walaupun saya telah dikawal ketat oleh ramai pengawal keselamatan, tetapi tidak sangka pula ada peminat yang masih terlepas dan terus menggigit saya,” ujarnya.

Menurutnya, meskipun pernah melalui pengalaman yang cukup menakutkan, namun dia tetap menghargai para peminat yang terus menyokong kerjayanya dalam bidang seni dan menganggap apa yang berlaku itu sebuah realiti kehidupan sebagai seorang anak seni.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...