Searching...
Tuesday 10 April 2012
00:22 0

Dira ‘Berani’ Muncul Di APBH



Biarpun sedar akan diberikan pandanga serong oleh sesetengah pihak, namun itu tidak bermakna pengacara kontroversi Khaidhirah Abu Zahar atau Dira,28 perlu memencilkan diri dengan hanya duduk bersendirian.

Sebaliknya, ketika berlangsungnya Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) di sini semalam, perantara rancangan hiburan dan gosip Melodi itu dengan beraninya telah hadir ke majlis berkenaan tanpa tersimpan sedikitpun perasaan gentar di wajahnya.

Ditemui portal murai.com.my, Dira yang cukup ayu dengan gaun kembang bewarna krim rekaan Lynda Rahim berkata dia tidak kisah dengan apa juga pandangan orang terhadapnya kerana apa yang penting dia tahu siapa dirinya dan hanya dia saja yang tahu apa yang telah terjadi.

“Kalau saya rasa takut atau rasa bersalah tentunya saya tak akan berada di sini hari ini. Lagipun Dira tahu di mana situasi Dira dan apabila rakan kita menganjurkan program seperti ini sudah tentunya kita akan sokong,” katanya jujur.

Awal minggu lalu Dira telah didakwa terlibat dalam insiden pergaduhan bersama seorang wanita di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail malam Ahad lalu yang menyebabkan wanita berkenaan cedera di bahagian wajahnya.

Dia yang juga aktif sebagai pelakon juga berkata, tidak ada apa yang perlu ditakutkan atau dipersalahkan sekiranya dia dan keluarganya sedar bahawa dia berada di dalam pihak yang benar.

Malah dia sedar kehadirannya ke majlis berkenaan sudah pasti akan mendapat perhatian pihak media yang sangat menanti-nantikan kemunculannya untuk mendapatkan sendiri keterangan lanjut dari mulutnya berkenaan insiden berkenaan.

“Saya sudah berada di dalam industri hiburan bukan setahun dua dan saya tak terus menjadi artis, malah pernah juga bergelar wartawan.Jadi saya faham serta menghormati kerja rakan media yang hanya menjalankan tugas mereka.

“Bila perkara kontroversi ini datang kepada saya, apa yang perlu saya lakukan hanya redha dan senyum saja apabila berhadapan dengan sesiapa termasuk juga pihak media.

“Kerana saya tahu siapa saya dan saya tidak akan mudah melatah dengan perkara seperti ini. Lebih-lebih lagi saya tidak pernah menyangka akan dikaitkan dengan perkara yang begitu dahsyat seperti ini.

“Apa yang penting saya boleh menanganinya dan bersyukur kerana ada keluarga serta suami yang sangat memahami,” katanya tetap tenang.

Menjawab isu mengenai dirinya telah direhatkan daripada program Melodi, dia berkata perkara berkenaan adalah salah faham semata-mata kerana hakikatnya itu adalah strategi pihak pengurusan rancangan berkenaan sejak kehadiran Awal Ashaari sebagai pengacara ketiga rancangan hiburan itu.

Jelas Dira, dia telahpun dimaklumkan oleh pihak pengurusan sejak sebulan lalu bagaimanapun enggan menghebahkan perkara berkenaan kepada pihak yang tidak berkaitan kerana menganggap itu adalah urusan dalaman pihak syarikat.

“Memang pihak pengurusan sudah merancang untuk melaksanakan perubahan ini.Kerana sekarang bukan saya dengan Zizan saja yang mengacarakan Melodi tetapi Awal Ashari sekali. Jadi jadual kami akan bergilir-gilir.

“Tak ada isu saya direhatkan kerana semua ini urusan pihak pengurusan TV3 dan saya tak ada hak untuk menghalang.

“Bagi saya biarlah kita jadi orang yang tak faham, asalkan jangan salah faham. Tak mengapalah. Mungkin ada hikmah di atas semua kejadian ini,” katanya dengan nada merendah diri. 

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...