Searching...
Thursday 26 April 2012
00:34 0

Cymera – Aplikasi Kamera Terbaik Untuk Para Pengguna Android


Terdapat puluhan aplikasi kamera yang memfokuskan kepada merakamkan gambar yang cantik, disamping membolehkan para pengguna edit dan menambah efek terus pada peranti mudah-alih mereka. Sebelum ini, kami sendiri telah menulis untuk beberapa aplikasi seumpamanya, seperti AfterFocus, dan kini kami tertarik dengan salah satu aplikasi yang dinamakan sebagai Cymera.
Melalui Cymera, bukan sahaja para pengguna boleh menambah efek seperti pada Instagram dan sebagainya, tetapi membawa sokongan lebih daripada itu. Aplikasi yang dikhaskan untuk para pengguna Android ini, pertama sekali membolehkan anda menetapkan pilihan merakamkan gambar. Anda boleh memilih ingin merakamkan gambar dalam bentuk hanya sekeping, atau menyertakan empat keping rakaman dalam satu gambar. Memandangkan rakaman gambar dilakukan antara satu sama lain dalam beza beberapa saat sahaja, ia mungkin amat bersesuaian ketika anda ingin merakamkan sesuatu pergerakan atau aksi dengan mudah melalui satu gambar. Sebanyak beberapa pilihan disertakan, dimana anda juga boleh menetapkan ingin merakamkan gambar menggunakan kamera belakang atau kamera hadapan. Sokongan Flash juga adalah automatik, dimana sekiranya ia mendapati ruangan persekitaran adalah gelap, ia akan menggunakan lampu Flash secara automatik.
Selesai sahaja anda membuat mod pilihan gambar, anda kemudiannya boleh merakamkan gambar dan mendapatkan hasilnya dengan mudah dan gambar tersebut akan disimpan secara automatik pada koleksi gambar lain, didalam Galleri pada folder dinamakan Cymera.
Seterusnya, selesai sahaja rakaman, biasanya anda akan ingin menambah beberapa efek tambahan dan pewarnaan pada gambar yang dihasilkan. Menariknya, pada Cymera, pilihanfilter yang diberikan adalah banyak berbanding dengan aplikasi popular lain, termasuk Instagram. Ini membolehkan anda memilih filter yang amat sesuai untuk gambar anda mengikut citarasa dan suasana yang anda rakamkan gambar asal. Pengguna juga boleh menambah satu filter dan filter lain. Efek tambahan seperti pencahayaan turut disertakan, menjadikan gambar yang dihasilkan oleh anda lebih menarik lagi.
Daripada aplikasi Cymera juga, para pengguna boleh terus menambah beberapa perkara tambahan, seperti border mahupun kartun dan lukisan tambahan padanya. Namun, antara sokongan tambahan selain daripada yang dinyatakan yang kami gemarkan adalah sokongan Liquify dan juga Cover Spots. Melalui Liquify, seperti pada namanya, anda boleh mengubah sesuatu bentuk itu kepada yang anda gemarkan, dan mengubah bentuk gambar akhir yang dihasilkan. Untuk Cover Spots pula, ia sesuai untuk anda memadamkan bahagian yang anda tidak gemarkan, seperti jerawat dan sebagainya, dimana anda boleh terus memadamkan jerawat anda pada gambar, terus melalui aplikasi Cymera.
Pada masa yang sama, sekiranya anda ingin memadamkan sebahagian perkara, seperti nombor plat, muka dan sebagainya, anda turut boleh menambah sokongan Mosaic pada gambar tersebut sebelum dikongsikan. Akhir sekali, seperti biasa, sebelum dikongsikan, anda boleh crop atau pusingkan gambar dan sebagainya, sebelum berkongsi hasil akhir bersama rakan anda yang lain, melalui Twitter, Facebook dan sebagainya.
Namun, memandangkan pada awal penggunaan aplikasi, ia menyertakan sokongan pendaftaran ataupun tidak, ia terserah kepada pengguna untuk berkongsi terus melalui aplikasi Cymera, ataupun berkongsi dengan lain melalui aplikasi Twitter dan Facebook, memandangkan gambar yang dihasilkan dikongsikan pada bahagian Galleri pada telefon pintar anda.
Walaubagaimanapun, salah satu perkara yang amat mendukacitakan adalah sokongan pendaftaran pada aplikasi tersebut yang menggunakan bahasa Korea untuknya. Selain daripada itu, kami mendapati tiada sebarang masalah dalam penggunaannya. Kami telah menguji aplikasi ini pada HTC Desire dan juga Galaxy Y, memperlihatkan ia dapat dijalankan tanpa sebarang masalah, walaupun pada peranti dengan spesifikasi sederhana.
Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun fail bersaiz lebih kurang 16MB ini secara percuma terus daripada Google Play Store hari ini, dan menjadikan gambar yang dihasilkan anda lebih menarik lagi sebelum dikongsikan bersama yang lain.

Contoh Gambar Daripada Cymera

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...